Menentang MU, Arsenal diserang setiap penjuru sebelum sepak mula
Astro Arena
Oktober 3, 2015 14:00 MYT
Oktober 3, 2015 14:00 MYT
Perebutan di kelompok atas BPL menghangatkan lagi perhitungan di antara Arsenal dan Manchester United pada malam Ahad.
Red Devils pasti ingin kekal menerajui BPL, sementara Arsene Wenger yang menerima desakan hebat ekoran kekalahan kepada Olympiacos dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, sudah tentu berhajat untuk membuktikan kewibawaan skuad bimbingannya.
Kekalahan kepada Swansea pada Ogos lalu menjadikan kempen Man United diragui, maka tidak hairanlah mengapa Louis van Gaal memberi isyarat betapa pentingnya kemenangan perlawanan ini, yang boleh melonjakkan semangat anak-anak buahnya untuk memburu gelaran liga.
"Saya rasa pilihan pemain kami lebih baik berbanding tahun lalu, dan tahun lalu kami juga memiliki peluang," katanya.
"Jadi saya percaya itu. Apa yang paling penting bukan keyakinan saya, tapi pemain yang harus yakin.
"Jika menang di Arsenal maka akan melonjakkan keyakinan kami lebih tinggi saya rasa."
Wenger yang acap mempertahankan pemainnya pula akan membuktikan sesuatu di Stadium Emirates, selepas keengganannya berbelanja kembali dipertikaikan, lebih-lebih lagi pemilihan David Ospina di depan gawang yang tidak kena pada masanya, mengikut pemerhati bola sepak.
Turut menambah perit beliau, ketiadaan Laurent Koscielny yang terpaksa berehat selama tiga minggu akibat kecederaan hamstring sekaligus menjejaskan lagi perancangannya, namun pemain tengah Francis Coquelin dijangka cergas untuk menghadapi seteru ketat mereka ini.
Bekas pemain yang dibimbingnya yang kini sudah bersara, Emmanuel Petit berkata pengurus itu terlalu berada dalam zon selesa kerana pemegang saham The Gunners tidak pernah mempersoalkan gelaran, asalkan mereka layak ke Liga Juara-Juara setiap musim.