Mendiang Eddy Choong selamat disemadi
Bernama
Februari 1, 2013 16:11 MYT
Februari 1, 2013 16:11 MYT
Mayat mendiang Datuk Eddy Choong Ewe Beng selamat disemadikan di Krematorium Batu Gantung, di sini hari ini.
Balu beliau Datin Maggie Choong serta empat anak lelakinya adalah antara 100 anggota keluarga dan sanak saudara yang hadir pada upacara itu yang berlangsung pada pukul 3 petang.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, bekas pemain badminton beregu negara Mohd Razif Sidek dan bekas pemain perseorangan kebangsaan Ong Ewe Hock, selain beberapa pemimpin politik.
Razif yang ditemui pemberita menyifatkan mendiang sebagai seorang legenda badminton yang tidak lokek dalam memberi tunjuk ajar dan nasihat.
"Saya berpendapat kita kehilangan seorang legenda badminton yang begitu arif, begitu minat sekali dengan sukan badminton. Dia boleh bercerita pasal badminton dari pagi sampai ke malam. Dia akan sentiasa bercerita pasal badminton," katanya.
Choong meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan pendarahan di dalam perut di pusat pakar Loh Guan Lye, di sini Isnin lepas.
Semasa hayatnya, mendiang pernah menjuarai Kejohanan Badminton All-England sebanyak empat kali berturut-turut iaitu pada tahun 1953, 1954, 1956 dan 1957 di Empress Hall, Kota London.