Menang Piala Dunia, hari Isnin tetap kerja
Razak Chik
November 4, 2019 23:07 MYT
November 4, 2019 23:07 MYT
SEJURUS selepas wisel penamat ditiup menandakan Afrika Selatan berjaya menjuarai Piala Dunia Ragbi 2019 di Yokohama, Jepun pada Sabtu, seluruh Afrika Selatan berpesta menyambut kemenangan.
Jika satu masa dahulu, ragbi merupakan permainan yang menjadi simbol dasar aparteid (apartness dalam Bahasa Afrikaans’ atau pengasingan kaum putih dari kulit hitam), kini; sukan 'bola lonjong buah kana' ini diterima sebagai alat penyatuan.
Semuanya bermula dengan berakhirnya hampir 50 tahun zaman aparteid dengan pembebasan Nelson Mandela setelah ditahan di Robben Island selama 27 tahun pada 1990.
Lima tahun kemudian pada 1995, Afrika Selatan mengalahkan All Blacks dengan jarak 3 mata di perlawanan akhir Piala Dunia Ragbi di Elllis Park, Johannesburg.
Kemenangan itu disambut dengan penuh harapan mengukuhkan penyatuan Afrika Selatan di waktu kesan era aparteid masih belum berakhir sepenuhnya.
Afrika Selatan terpaksa menunggu 12 tahun lagi sebelum menenangi Piala Dunia Ragbi buat kali kedua – kali ini mengalahkan England di perlawanan akhir di Paris, Perancis. Afrika Selatan juara Piala Dunia Ragbi kali kedua mengalahkan England 15-6 pada tahun 2007.
Tahun ini – 2019, selepas 12 belas tahun lagi penantian, Afrika Selatan muncul juara lagi. Pada Sabtu di Yokohama, Afrika Selatan membuktikan mereka pasukan jagoan, menghampakan harapan seluruh England yang dikalahkan dengan keputusan 32-12.
Jika pada 1995 dan 2007, pemain kulit hitam boleh dibilang dengan sebelah tangan. Kali ini, Springboks berkaptenkan Siyamthanda Kolesi – kapten pasukan Afrika Selatan pertama di pentas akhir berkulit hitam.
Sejurus selepas kemenangan, media sosial sibuk berkicau mendesak Presiden Cyril Ramaphosa – yang hadir sebagai penonton bersama Prince Harry di dalam stadium – umumkan Isnin sebagai cuti umum.
(Sehingga hari Selasa – dua hari selepas perlawanan akhir – tiada apa berita kedengaran dari Afrika Selatan samaada Isnin diumum cuti. Lain cerita dengan beberapa pasukan tempatan yang memberi cuti seluruh negeri walaupun hanya muncul juara piala tempatan).
Piala Dunia Ragbi 2019 memberi peluang kepada peminat ragbi 'disekolahkan' tentang bagaimana wujud 3 sukan yang sama sama menggunakan bola lonjong berbentuk buah kana.
Dengan kejayaan popular serata dunia pasukan Afrika Selatan, sekurang kurangnya peminat sudah peka perbezaan sukan Rugby Union berbanding Rugby League berbanding Bolasepak Gridiron Amerika (American Football).
Semuanya menggunakan bola lonjong berbentuk buah kana, tetapi undang-undang dan cara bermain sungguh berbeza.
Satu lagi fakta yang menarik ekoran kekalahan All Blacks di peringkat separuh akhir kedengaran bagaimana peminat dari New Zealand yang awal lagi sudah membeli tiket perlawanan menebus kekecewaan tewas kepada England.
Tiket ke perlawanan akhir yang dibeli pada harga 500 Pound Sterling (RM2,700) jual pada harga RM8,000 kepada peminat England yang kemaruk tidak mahu lepas menyokong pasukan kesayangan mereka.