Menang ke atas Sri Pahang: K. Devan puji aksi cemerlang pemain import
Bernama
Jun 26, 2022 11:30 MYT
Jun 26, 2022 11:30 MYT
SEREMBAN: Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) K. Devan memuji aksi cemerlang yang dipamerkan tiga pemain import baharu pasukan itu dalam membantu meraih tiga mata berharga menerusi perlawanan menentang Sri Pahang FC, malam tadi.
Beliau berkata ketiga-tiga pemain berkenaan Matheus Alves Leandro, Yaser Armando Pinto Islame dan Gustavo Almeida Dos Santos menunjukkan keserasian bersama rakan sepasukan walaupun baru sebulan menyertai Skuad Hobin Jang Hobin.
Gembira dengan kemenangan 3-0 ke atas Sri Pahang FC itu, Devan berkata ketiga-tiga mereka yang pernah beraksi di Liga Malaysia sebelum ini tidak mengambil masa lama untuk memahami corak permainan pasukan.
"Oleh itu pilihan saya (adalah) untuk memilih pemain (import) yang sudah mengenali Liga Super dan corak permainan Liga Malaysia, mungkin ada rakan sepasukan yang rapat dengan mereka dari pasukan yang pernah disertai bersama," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini malam tadi.
Pada aksi malam tadi, NSFC yang hanya tewas sekali setakat ini, mendahului permainan pada minit ke-35 menerusi Gustavo Almeida Dos Santos sebelum Yaser Armando Pinto Islame menggandakan kedudukan tiga minit selepas rehat.
Skuad tuan rumah terus menambah derita pasukan pelawat pada minit ke-53 apabila giliran Matheus Alves Leandro pula mencetak nama sebagai penjaring dan kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan kemarau kemenangan Sri Pahang berterusan.
Kejayaan di laman sendiri menyaksikan Juara Liga Premier musim lepas itu meraih kemenangan kelima selepas 10 aksi untuk berada di kedudukan kedua liga, berkongsi 19 mata dengan pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT) yang kurang tiga perlawanan.
Mengulas mengenai kedudukan pasukan di dalam liga, Devan berkata pihaknya tidak terlalu memikirkan perkara itu, namun mengharapkan skuad bimbingannya terus cemerlang dan mampu mencapai kedudukan yang lebih baik.
-- BERNAMA