Memanah: Recurve berpasukan lelaki dan wanita gondol emas

Astro Arena
Ogos 21, 2017 13:23 MYT
Trio lelaki negara yang diketuai oleh Khairul Anuar Mohamad melangkah ke final selepas mudah tundukkan Filipina dengan keputusan 6-0. - Foto Astro Arena/Amira Ibrahim
Skuad memanah negara mencipta kejayaan dengan meraih dua pingat emas menerusi acara recurve berpasukan lelaki dan wanita di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, sebentar tadi.
Trio memanah wanita negara yang dibarisi oleh dibarisi Nur Afisa Abd Halil, Nur Aliya Ghapar dan Nuramalia Haneesha mara ke final selepas membuat kejutan menewaskan juara bertahan, Vietnam 6-2.
Mereka sekali lagi mempamerkan aksi yang mantap pada final ketika berdepan Indonesia dengan meraih kemenangan 5-1.
Ini merupakan kejayaan bersejarah buat trio wanita yang menamatkan kemarau 12 tahun untuk kembali dikalungkan pingat emas kali terakhir di Manila 2005.
Trio lelaki negara yang diketuai oleh Khairul Anuar Mohamad melangkah ke final selepas mudah tundukkan Filipina dengan keputusan 6-0.
Bergandingan bersama Haziq Kamaruddin dan Muhd Akmal Nor Asrin, kelebihan beraksi di laman sendiri terus memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah di final.
Malaysia melakar kemenangan 5-1 ke atas wakil dari Thailand, sekaligus mempertahankan emas mereka yang dimenangi dua tahun lalu.
#emas #KL2017 #Malaysia #memanah #Nur Afisa Abd Halil #Nur Aliya Ghapar #Nuramalia Haneesha #recurve berpasukan #Sukan SEA #Sukan SEA 2017 #Vietnam
;