Memanah: Khairul kecewa gagal sumbang emas

Astro Arena
Ogos 22, 2017 15:01 MYT
Atlet memanah negara Khairul Anuar Mohamad (kiri) dan Nur Aliya Ghapar terpaksa berpuashati dengan pingat Perak pada acara Recurve Campuran di Sukan SEA KL2017 hari ini. --fotoBERNAMA
PEMANAH negara, Khairul Anuar Mohamad, memaksa diri beraksi dalam keadaan demam sebelum meraih pingat perak recurve berpasukan campuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Khairul dan gandingannya, Nur Aliya Ghapar, tewas 5-3 kepada gandingan Indonesia, Diananda Choirunisa-Riau Ega Agatha Salsabila dalam final.
Khairul Anuar menjelaskan bahawa emas adalah sasarannya, namun gagal mempamerkan persembahan terbaik yang menggagalkan dirinya dan Nur Aliya.
"Saya dan Aliya menyasarkan emas. Saya kecewa dengan panahan sendiri yang masih mempunyai kekurangan," katanya.
"Jika dilihat dalam panahan terakhir, saya hanya dapat mengutip lapan mata.
"Kalau saya boleh kawal tekanan dalam panahan terakhir, sekurang-kurangnya kalau saya boleh membidik kawasan kuning, kami boleh mengheret ke penentuan shoot-off."
Pemenang pingat emas acara berpasukan lelaki recurve itu turut mendedahkan bahawa kesihatannya turut menjadi benteng untuk melakukan bidikan yang cemerlang.
"Sebenarnya, sudah seminggu saya dilanda demam dan semalam keadaan saya lebih baik daripada acara individu recurve lelaki dan pusingan kelayakan.
"Sehari sebelum latihan rasmi, saya sudah memaklumkan kepada jurulatih dan hanya sempat menjalani latihan separuh hari sahaja.
"Begitupun, saya tetap meneruskan aksi dan tidak berputus asa."
#demam #Indonesia #Khairul Anuar Mohamad #KL2017 #Kuala Lumpur #Nur Aliya Ghapar #pemanah #pingat perak #recurve berpasukan campuran #Sukan SEA
;