Memanah: Bidikan tepat Liew

Sufian Hadi
April 12, 2013 15:10 MYT
Menjadikan kakaknya sendiri sebagai idola dan perangsang untuk dia bergiat aktif dalam sukan memanah, Liew Tek Wa, 23, atau lebih mesra dengan panggilan Apek, telah mula menceburi sukan memanah sejak berusia 13 tahun lagi.
Bagi dirinya, sukan ini adalah satu sukan yang mencabar dan mempunyai kelebihannya yang tersendiri.
"Sukan memanah ini sangat menyeronokkan dan sebati di dalam hidup saya kerana ia antara sukan yang mudah dipelajari dan sesuai untuk golongan remaja".
"Pemanah perlu yakin, fokus dan pandai bermain dengan minda sesuaikan dengan situasi, terutama berkaitan tiupan angin yang boleh mempengaruhi rentak permainan," jelasnya ketika ditemui di Universiti Putra Malaysia (UPM) semasa menjalani latihan memanah.
Sepanjang tempoh 10 tahun penglibatannya dalam sukan ini, Apek pernah memenangi pingat emas dan perak dalam pertandingan Kejohanan Memanah Universiti Dunia, 2012 di Laos.
Sebagai pelapis sukan memanah kebangsaan, dia juga pernah mewakili negara dalam pertandingan memanah yang diadakan di Sepanyol, Turki, Korea dan banyak lagi.
Walaupun memanah dianggap sebagai sukan kurang popular dalam kalangan remaja, namun Apek tetap meneruskan minatnya untuk mengharumkan nama negara setanding atlet memanah dari Korea Selatan, Im Dong-Hyun.
"Saya berharap agar sukan ini mendapat perhatian dari pelbagai pihak memandangkan ia berpotensi menyumbang pingat emas dalam sukan Olimpik seperti yang diuar-uarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan".
Semoga Apek akan terus berjaya dalam bidang yang diceburi dan dapat mengharumkan nama negara pada suatu hari nanti.
#Apek #Liew Tek Wa #memanah #sukan #UPM
;