"Melecet di seluruh badan, kesan gegaran di kepala masih terasa" - Azizulhasni Awang
Astro Awani
Disember 15, 2019 14:00 MYT
Disember 15, 2019 14:00 MYT
Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang pada Ahad berkongsi perkembangan terbaharu dirinya selepas mengalami kemalangan di Brisbane, Australia semalam.
Menurut atlet itu, hampir seluruh badannya melecet selain mengalami kesan gegaran di kepala dan bahu akibat kemalangan dalam acara Keirin di siri kelima Piala Dunia Brisbane itu.
Katanya, paling menyakitkan adalah di bahagian bahu kanan yang bengkak di sendi acromioclavicular (tulang selangka dan bahagian bilah bahu menyambung).
Jelasnya, keadaan itu berlaku mungkin hasil hentakkan ketika jatuh atau dilanggar oleh pelumba lain.
Tambah Azizulhasni, kecederaan itu menyebabkan pergerakannya amat terbatas dan terpaksa direhatkan untuk acara Individual Sprint pada Ahad.
"MashaAllah sungguh terharu melihat begitu banyak mesej yang diterima melalui SMS, WhatsApp serta di media sosial.
"Saya memohon maaf kepada semua kerana tidak sempat hendak membalas satu persatu tetapi ketahuilah bahawa saya amat menghargai keprihatinan daripada anda semua dan semoga kita semua di rahmati oleh Nya," katanya dalam kenyataan yang dikongsi di laman Instagram pada Ahad.
BACA: "Sakitnya bukan kepalang, saya macam ayam kena sembelih" - Azizulhasni cerita detik-detik kemalangan
Azizulhasni sebelum ini menjuarai acara keirin siri keempat Piala Dunia yang berlangsung di Cambridge, New Zealand pada minggu lalu.
Azizulhasni melakar pencapaian membanggakan apabila kayuhan bertenaganya membolehkan dia muncul juara di Cambridge, meninggalkan lima pencabar yang lain.
Dalam pada itu Azizulhasni atau popular dengan gelaran 'The Pocket Rocketman' turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatannya.
"Semoga kecederaan ini akan pulih dengan kadar segera dan saya dapat membuat persiapan untuk Kejohanan Dunia di Berlin pada penghujung Februari nanti," ujarnya.
Azizulhasni pada Sabtu turut meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tidak dapat meneruskan kecemerlangan yang diraih ketika perlumbaan di New Zealand minggu lepas yang menyaksikannya muncul juara acara keirin.
#Australia
#Azizulhasni Awang
#Instagram
#kemalangan
#media sosial
#New Zealand
#Olimpik
#Piala Dunia
#rakyat Malaysia
#WhatsApp