Melaka FC rangkul kejuaraaan Liga A1 Semi Pro

Bernama
Februari 22, 2025 05:45 MYT
Sebagai juara Liga A1 Semi Pro, Melaka FC membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000. - Foto BERNAMA/Nursuraya Zulkifli
MELAKA: Melaka FC melakar kejayaan gemilang apabila merangkul gelaran juara Liga A1 Semi Pro selepas membenam Machan FC 7-2 dalam perlawanan terakhir musim ini di Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini malam tadi.
Penyerang import dari Ghana, Fuseini Issah tampil cemerlang dengan jaringan hatrik bagi membantu Melaka FC meraih kemenangan besar ke atas kelab berpangkalan di Sibu, Sarawak itu.
Bermain di laman sendiri, skuad kendalian K Devan dikejutkan dengan jaringan pembukaan pasukan pelawat pada minit ke-12 menerusi Haziq Shah Putra Zulkafli.
Tersentak dengan jaringan itu, tuan rumah segera menggandakan asakan dan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Mohd Fakrullah Rosli pada minit ke-19.
Berselang tiga minit kemudian, Fuseini menambah jaringan buat Melaka FC selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-22 sebelum sekali lagi meledak pada minit ke-33.
Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, Fuseini terus menambah jaringan pada minit ke-43 selepas memperdaya penjaga gol Machan FC, Muhammad Aqiel Danish Mohd Nasir.
Bersambung babak kedua, Melaka FC terus garang dengan ketua pasukan Nasir Basharuddin mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-53, diikuti jaringan Nizaruddin Jazi pada minit ke-64.
Machan FC berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan kedua Haziq Shah Putra pada minit ke-89, namun Nizaruddin memastikan kemenangan bergaya Melaka FC dengan gol pada minit ke-90 sebelum wisel penamat dibunyikan.
Sebagai juara Liga A1 Semi Pro, Melaka FC membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.
Kemenangan bergaya ini melengkapkan pencapaian Melaka FC musim ini dengan mengumpul 68 mata daripada 28 perlawanan, mencatat lima keputusan seri dan hanya satu kekalahan, iaitu 0-1 kepada PT Athletic FC.
-- BERNAMA
#Melaka FC #Liga A1 Semi Pro #Machan FC #Fuseini Issah
;