Melaka berpotensi jadi destinasi pelancongan sukan terunggul

Bernama
April 7, 2019 05:02 MYT
Dataran Pahlawan menjadi salah satu hentian dalam program sukan berprestij termasuk Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019. - Gambar fail
Melaka berpotensi menjadi destinasi pelancongan sukan berdasarkan pencapaian negeri yang sering menjadi lokasi penganjuran pelbagai acara sukan di peringkat negeri dan antarabangsa serta status negeri itu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee berkata industri pelancongan sukan akan memberi impak yang cukup besar kepada negeri dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi dan pembangunan sukan ke arah yang lebih mapan.
"Melaka sering menjadi lokasi penganjuran program sukan berprestij termasuk Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 yang hari ini Dataran Pahlawan menjadi salah satu hentian bagi acara ini yang kebanyakan pesertanya ialah dari luar negara.
"Ia sebagai pemangkin untuk Melaka menjadi destinasi pelancongan sukan sekali gus menjadi tumpuan sukan antarabangsa pada masa hadapan namun perancangan yang teratur dan konsisten perlu dilakukan untuk merealisasikam hasrat ini ," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Upacara Penamat Peringkat Kedua LTdL 2019 di Dataran Pahlawan di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya sering mengadakan perbincangan dan pertukaran idea dengan negeri lain dalam usaha menambah baik inisiatif atau usaha ke arah pembangunan sukan yang lebih lestari dan cemerlang.
Katanya salah satu negeri yang perlu dicontohi ialah Terengganu kerana berjaya melahirkan ramai atlet berkualiti dan hebat dalam sukan berbasikal.
Sementara itu, Kerk berkata proses penyelarasan elaun atlet dan jurulatih negeri yang menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 dijangka selesai Mei depan.
Beliau berkata insentif yang meliputi Elaun Asas Sukma dan Projek Emas berdasarkan syarat ditetapkan, termasuk pencapaian pada Sukma lepas merupakan salah satu usaha kerajaan negeri menghargai usaha atlet dan jurulatih yang mengharumkan nama negeri serta merancakkan pembangunan sukan Melaka.
-- BERNAMA
#industri pelancongan #Le Tour de Langkawi #LTdL #Melaka #pelancongan sukan #pembangunan sukan
;