Melaka bakal jadi tuan rumah Hari Olimpik Sedunia 2023
Bernama
Februari 13, 2023 07:15 MYT
Februari 13, 2023 07:15 MYT
MELAKA: Melaka bakal menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Olimpik Sedunia anjuran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dijangka berlangsung Julai depan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir.
Naib Presiden MOM Datuk Nur Azmi Ahmad berkata acara tahunan tersebut merupakan antara pengisian menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 bagi memeriahkan temasya sukan terbesar dunia itu.
"Kita menyasarkan seramai 10,000 pengunjung hadir pada sambutan Hari Olimpik Sedunia ini. Pelbagai aktiviti sedang dirancang dan akan dimuktamadkan nanti.
"Sambutan yang sama telah diadakan di Pulau Pinang pada tahun lepas dan pada tahun ini, Melaka terpilih dan kita akan menjemput atlet-atlet yang pernah mewakili negara pada Sukan Olimpik untuk bersama-sama memeriahkannya," katanya kepada pemberita di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka semalam.
Terdahulu, beliau hadir pada program kayuhan basikal sempena kempen pengumpulan dana 'The Spirit of Olympism 2023' oleh pengayuh veteran Alex Goh Shaw Peng, yang turut dihadiri Presiden Persatuan Olimpian Malaysia (MOA) Noraseela Khalid.
Nur Azmi juga berkata pihaknya melihat program 'Spirit Of Olympism' sebagai usaha terbaik dalam menghargai dan memperkenal wira-wira yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas Olimpik kepada generasi muda.
Beliau berkata ia juga membolehkan masyarakat mengenali atlet yang telah mewakili Malaysia termasuk legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Ann dan bekas kapten pasukan hoki negara Datuk Mirnawan Nawawi yang pernah beraksi dalam acara paling berprestij itu.
"Secara tidak langsung, ia dapat menanam semangat kepada anak-anak muda terutama untuk menceburi bidang sukan dan berazam mewakili negara hingga ke peringkat tertinggi, " katanya.
-- BERNAMA