Mei Xing hampa gagal sumbang mata buat Malaysia

Bernama
Mei 1, 2024 21:31 MYT
Pasangan itu tewas kepada beregu ranking ke-32 dunia Setyana Mapasa-Angela Yu, 15-21, 17-21 dalam aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone. - Gambar Bernama
CHENGDU: Kapten pasukan Teoh Mei Xing tidak dapat menyembunyikan kesedihannya selepas gagal menyumbang mata kedua buat pasukan Malaysia ketika menentang Australia bersama pasangannya Go Pei Kee dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di sini hari ini.
Pasangan itu tewas kepada beregu ranking ke-32 dunia Setyana Mapasa-Angela Yu, 15-21, 17-21 dalam aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone di sini.
Kekecewaan Mei Xing ternyata sukar dibendung ketika ditemui media dan ditenangkan oleh Pei Kee.
Mei Xing mengakui hampa apabila tidak berjaya mengekalkan momentum kemenangan selepas pemain perseorangan wanita profesional negara Goh Jin Wei meletakkan Malaysia di hadapan dengan kemenangan 21-6, 21-12 ke atas Tiffany Ho.
"Saya sungguh kecewa kerana tidak dapat menyumbang satu mata ketika menentang Australia. Saya amat hargai peluang untuk bermain di Chengdu tetapi seperti yang anda lihat, kami hanya menang satu perlawanan dan saya perlu tambah baik konsistensi," katanya kepada media Malaysia di sini.
Kemenangan tunggal Pei Kee-Mei Xing ialah semasa menerima mata sagu hati untuk Malaysia ketika kecundang 1-4 kepada Taiwan apabila mereka mengejutkan pemain ranking ke-24 dunia Hsu Ya Ching-Lin Wan Ching, 21-19, 21-17 dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Ahad lepas.
Pasangan itu mengalami kekalahan pertama selepas terpaksa akur kepada pemain Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Projingai, 21-10, 21-14 selepas tumpas 5-0 di tangan Thailand dalam perlawanan kedua kumpulan, Isnin lepas.
Meskipun melakar kemenangan ketika bertemu Tiffany, Jin Wei berkata dia masih perlu menambah baik variasi pukulannya, manakala Wong Ling Ching berkata dia menghargai saat itu dan berpeluang menimba pengalaman beraksi menentang pemain yang lebih hebat dalam kejohanan berprestij ini.
Ling Ching, 20, anak kelahiran Sarawak itu memperoleh mata kedua Malaysia apabila menundukkan Sydney Tjonadi, 21-16, 21-3.
Malaysia mengukuhkan kedudukan apabila beregu kedua Ho Lo Ee-Tan Zhing Yi menewaskan Kaitlyn Ea-Gronya Somerville, 21-12, 13-21, 21-10, manakala Siti Zulaikha Muhammad Azmi yang membuat penampilan sulungnya menamatkan saingan untuk negara dengan mengatasi Isabella Yan, 21-10, 21-10.
Walaupun menang 4-1, Malaysia gagal melangkah ke pusingan suku akhir selepas tewas 1-4 kepada Taiwan dan 0-5 kepada Thailand sebelum ini.
Kali terakhir Malaysia mara ke suku akhir Piala Uber ialah pada edisi 2010.
-- BERNAMA
#Piala Uber #suku akhir #mata kedua #perlawanan terakhir
;