Megat Shahriman selar kredibiliti MPM

Bernama
Jun 29, 2019 20:01 MYT
MEGAT SHAHRIMAN: Kalau saya dipilih menjadi presiden dan kalau ada keperluan, saya akan memecat mereka yang bertanggungjawab kerana ini tidak bagus. - Gambar fail
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang bertanding merebut jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyelar badan induk itu kerana memutuskan untuk menangguh Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi memilih anggota exco baharu bagi penggal 2019-2023.
Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) itu mendakwa anggota exco MPM sedia ada perlu dipecat, kerana gagal menjalankan tanggungjawab diamanahkan, sambil menegaskan penangguhan tersebut akan menjejaskan kredibiliti MPM, selaku badan induk sukan yang menjaga atlet para negara.
"Kalau saya dipilih menjadi presiden dan kalau ada keperluan, saya akan memecat mereka yang bertanggungjawab kerana (kemelut) ini tidak bagus.
"Mangsanya atlet dan persatuan sukan serta menjejaskan imej KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara), PJS ( Pesuruhjaya Sukan) dan MPM itu sendiri. Saya rasa mungkin penaja akan lari kerana mereka tidak mahu terlibat dalam kemelut ini," katanya kepada Bernama hari ini.
BACA: Mesyuarat Agung Tahunan MPM tangguh
BACA: Presiden MPM: Khairy akan hantar pencalonan baharu jika masih layak
Sebelum ini, Megat Shahriman mempersoal kelayakan pencabarnya, Khairy Jamaluddin untuk merebut jawatan Presiden MPM, kerana mendakwa bekas Menteri Belia dan Sukan itu menggunakan unsur penipuan untuk bertanding jawatan berkenaan.
Megat Shahriman juga dilaporkan telah menghantar bukti penipuan berkenaan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) bagi menyemak semula kelayakan Khairy yang bertanding atas kapasiti Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWRF) bagi merebut jawatan Presiden MPM.
Timbalan Presiden MPM, John Ng hari ini dilaporkan berkata kesemua 24 anggota gabungan MPM bersetuju untuk menangguhkan AGM bagi penggal 2019-2023 kepada satu tarikh yang akan ditentukan kelak.
-- BERNAMA
#agm #atlet #bukti penipuan #Khairy Jamaluddin #kredibiliti #kurang upaya #Majlis Paralimpik Malaysia #Megat D Shahriman Zaharudin #presiden #sukan #tangguh #tangguh mesyuarat
;