Megat Shahriman dilantik sebagai ahli Majlis Paralimpik Asia

Bernama
Oktober 25, 2023 14:11 MYT
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin telah terpilih sebagai wakil rantau Asia Tenggara untuk Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Paralimpik Asia (AsPC), hari ini. - Gambar fail/BERNAMA
HANGZHOU: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin telah terpilih sebagai wakil rantau Asia Tenggara untuk Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Paralimpik Asia (AsPC), hari ini.
Megat, 40, berjaya mengalahkan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan (NPC) Filipina Michael Barredo dan Presiden NPC Singapura Dr Teo-Koh Sock Miang, pada pemilihan yang diadakan di sini, bersempena dengan penganjuran Sukan Para Asia.
Beliau yang merupakan ahli Lembaga Gabenor Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF), akan menjalankan tugas untuk tempoh empat tahun (2023-2027), sebagai wakil rantau Asia di Jawatankuasa Eksekutif AsPC.
Presiden APSF Mejar Jen Osoth Bhavilai dalam satu kenyataan berkata Megat akan bertindak sebagai penghubung antara kedua-dua badan itu, dalam melaksanakan pelbagai aktiviti dan dasar pergerakan sukan para di Asia.
"Tahniah kepada Datuk Seri Megat kerana dipilih sebagai wakil Asia Tenggara yang baharu. APSF berharap untuk terus terlibat secara aktif dalam pemerkasaan atlet para, aktiviti dan rancangan di rantau ini dalam tempoh empat tahun akan datang dan seterusnya," katanya.
Presiden dan wakil daripada semua 11 NPC Asia Tenggara mengundi dalam pemilihan, yang diselia oleh Jawatankuasa Undang-undang dan Etika AsPC, dipengerusikan oleh Keng Chuan Ng. Selain Asia Tenggara, wakil serantau lain yang dipilih termasuk dari Uzbekistan untuk Asia Tengah, India untuk Asia Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk rantau Asia Barat.
-- BERNAMA
#Megat D Shahriman Zaharuddin #Majlis Paralimpik Asia #wakil rantau Asia Tenggara #Presiden Majlis Paralimpik Malaysia