Megan Rapinoe hentam dan setuju Presiden FIFA disorak 'boo'
Faris Danial Razi
Julai 8, 2019 17:42 MYT
Julai 8, 2019 17:42 MYT
PEMAIN bola sepak antarabangsa, Megan Rapinoe, 34 yang membawa nama pasukan negaranya, Amerika Syarikat (AS) menjadi tumpuan media pada perlawanan akhir Piala Dunia Wanita Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), selepas kemenangan pasukan itu terhadap pasukan Perancis 2-0.
Rapinoe menjadi bahan bualan menjelang Piala Dunia kali ini dek tindakan dan ucapannya yang membawa kontroversi, sekali gus menarik perhatian media.
Bahkan, keengganan Rapinoe meletakkan tangan di dada ketika lagu kebangsaan AS dimainkan juga menyebabkan dia menjadi tumpuan radar sehingga mengundang kritikan daripada Presiden AS, Donald Trump yang menyifatkan pemain berkenaan tidak sewajarnya berbuat demikian.
"Tindakannya (tidak meletak tangan di dada) itu tidak wajar. Bagaimanapun, saya gemar menonton perlawanan bola sepak wanita. Mereka semua sangat berbakat,:" kata Trump seperti dilaporkan portal berita, The Hill.
Rapinoe juga sebelum ini pernah menyatakan keengganannya untuk datang ke Rumah Putih dan bertemu Trump apabila pasukan AS memenangi Piala Dunia tahun ini.
Sewaktu ditanya tentang sorakan ‘boo’ yang dilemparkan kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino saat penyampaian trofi Piala Dunia kepada pasukan wanita AS di Stadium Groupama di Lyon pada Ahad, Rapinoe setuju dengan ejekan tersebut.
Sebelum ini, Rapinoe meluahkan rasa kecewanya terhadap persatuan FIFA yang dianggap bersifat berat sebelah dan tidak menghargai bola sepak wanita.
Pemain posisi tengah ini juga membuat perbandingan nilai wang tunai yang ditawarkan kepada pasukan lelaki dan wanita yang meraih kemenangan juga sebagai tidak adil.
Juara pasukan lelaki piala dunia menerima AS$400 juta (RM1.65 billion) manakala wanita hanya memenangi sebanyak AS$30 juta (RM124.2 juta).
“Ia tidak adil, sewajarnya ia perlu dinaikkan dan dilipat gandakan bermula saat ini," tegasnya.
Ekoran itu, jurucakap bagi pihak Persatuan Pemain Pasukan Kebangsaan Wanita AS, Molly Levinson berkata, sudah tiba masanya untuk FIFA membetulkan jurang perbezaan ini kepada semua.
Bukan sekadar menobatkan pasukannya sebagai juara dunia empat kali berturut-turut, Rapinoe, 34, turut menerima pengiktirafan Kasut Emas sekali gus dengan takhta Bola Emas.
Pasukan wanita AS dinobatkan juara Piala Dunia 2019 selepas hasil gol penalti yang disumbang Rapinoe pada minit ke-61 dan jaringan Rose Lavelle pada minit ke-69.
#Amerika Syarikat
#AS
#bola sepak
#Donald Trump
#FIFA
#Megan Rapinoe
#Piala Dunia
#Piala Dunia Wanita
#presiden