Medvedev mara ke pusingan keempat Terbuka Australia

Sinar Harian
Januari 22, 2022 06:30 MYT
Aksi Daniil Medvedev selepas menewaskan Botic van de Zandschulp dalam pusingan ketiga kejohanan Terbuka Australia di Melbourne, 22 Jan, 2022. (AP)
PEMAIN nombor dua dunia, Daniil Medvedev mengatasi pemain Belanda, Botic van de Zandschulp 6-4, 6-4, 6-2 di Arena Margaret Court untuk mara ke pusingan keempat Terbuka Australia sekali gus berada di landasan terbaik merangkul kejuaraan Grand Slam kedua berturut-turut.
“Saya sangat gembira kerana setiap pusingan di Grand Slam adalah sangat sukar. Walaupun hari ini mata tidak menunjukkan situasi ini, tetapi saya rasa ia adalah perlawanan paling mencabar daripada mata yang diperolehi.
“Semoga saya boleh bermain di sini untuk beberapa tahun lagi. Malah saya harap akan ada lebih banyak masa untuk mencipta keputusan lebih positif berbanding sebaliknya,” kata Medvedev yang juga juara Terbuka Amerika Syarikat.
Van de Zandschulp, pemain berusia 26 tahun yang menduduki ranking ke-57 dunia, merupakan satu-satunya pemain meraih satu set daripada Medvedev ketika kedua-duanya berentap di Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu, pentas pemain Rusia tersebut mendakap kejuaraan utama pertamanya.
Kemaraan Medvedev menyaksikan pemain berusia 25 tahun itu yang juga finalis Melbourne Park edisi 2021 akan bertemu pemain dari Amerika Syarikat, Maxime Cressy yang menewaskan pemain Australia, Christopher O'Connell 6-2, 6-7(6), 6-3, 6-2, bagi perebutan slot suku akhir.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#tenis #Daniil Medvedev #Terbuka Australia #Botic van de Zandschulp
;