Media sukan jangan sinis usaha majukan sukan negara - Khairy

Bernama
Jun 27, 2016 00:44 MYT
Sukan SEA adalah platform kepada atlet-atlet baharu untuk mempamerkan prestasi dan didedahkan di peringkat antarabangsa. - Gambar fail
Pengamal media sukan diminta tidak bersikap sinis terhadap usaha Kementerian Belia dan Sukan dan agensi di bawahnya dalam usaha memajukan sukan negara.
Menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin berkata media seharusnya lebih positif demi mencapai matlamat pingat emas pertama Sukan Olimpik negara serta pembangunan atlet baharu menerusi penyertaan di temasya sukan lain seperti Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan SEA.
"Pengamal media sukan jangan ambil sikap bahawa apa yang dibuat sentiasa gagal.
"Kita perlu bersikap positif sebab kita belum lagi menang pingat emas di Sukan Olimpik dan juga kita selaku penganjur Sukan SEA tahun depan, jangan kita ada simpan sarcasism (sikap sinis)," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama media sukan di sini hari ini.
Justeru, menjelang penganjuran dua temasya sukan iaitu Sukan SEA dan Sukan Para Asean di Malaysia, Khairy menggesa agar media menghidupkan 'demam Sukan SEA' lebih awal.
Katanya, Sukan SEA adalah platform kepada atlet-atlet baharu untuk mempamerkan prestasi dan didedahkan di peringkat antarabangsa.
"Sebelum ini liputan diberikan kepada jaguh dunia negara tapi tahun depan kita mahu liputan diberikan kepada atlet baharu agar mereka menjadi ikon baharu sukan negara.
"Selain itu, saya harap pihak media dapat menghidupkan SEA Games fever dari sekarang agar kita dapat gunakan advantage selaku tuan rumah untuk menarik lebih ramai penonton dan penyokong di venue-venue sukan," katanya.
Dalam pada itu, Khairy mengalu-alukan input dan idea daripada pengamal media sukan bagi membantu kementerian menjayakan penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para Asean pada Ogos tahun depan.
"Saya yakin dan percaya dengan kerjasama media dan semua pihak, penganjuran temasya sukan Kuala Lumpur 2017 akan lebih baik dari Singapura," katanya.
#Khairy Jamaluddin #Pengamal media sukan diminta tidak bersikap sinis terhadap usaha Kementerian Belia dan Sukan dan agensi di bawahnya dalam usaha memajukan sukan negara
;