Media Malaysia 'diajar' panggil nama rasmi Korea Utara
Bernama
November 12, 2017 22:20 MYT
November 12, 2017 22:20 MYT
Media Malaysia yang membuat liputan perlawanan kelayakan Piala Asia antara Malaysia dan Korea Utara diberi 'pengajaran' bagaimana untuk memanggil nama negara komunis itu dengan betul.
Semasa sidang media sebelum perlawanan diadakan, seorang penterjemah dari Korea Utara meminta media Malaysia berhenti memanggil nama negara itu sebagai Korea Utara, sebaliknya menggunakan nama rasminya, Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK).
"Jangan panggil kami Korea Utara, tidak ada Korea Utara," kata pegawai negara itu yang kelihatan marah apabila media Malaysia berulang kali merujuk negaranya sebagai Korea Utara ketika sidang media di Stadium i-mobile di sini hari ini.
Pegawai itu mencelah soalan yang dikemukakan oleh media Malaysia untuk membuat penjelasan mengenai nama rasmi negaranya itu.
Pegawai itu bertindak sebagai penterjemah untuk kapten Korea Utara, Kim Yu Song pada sidang media itu, yang turut dihadiri ketua jurulatih pasukan itu, Jorn Andersen yang dilahirkan di Norway tetapi memegang kerakyatan Jerman.
Malaysia akan bertemu Korea Utara sekali lagi pukul 7 malam esok (8 malam waktu tempatan) di stadium yang sama, berikutan kekalahan 1-4 pada perlawanan pertama dua hari lepas.
Perlawanan itu sepatutnya diadakan Mac lepas tetapi ditunda hingga kini kerana hubungan diplomatik antara dua negara berikutan pembunuhan Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada Februari lepas.
Perlawanan itu juga menjadi mangsa kepada keadaan yang semakin buruk di Semenanjung Korea berikutan pelancaran peluru berpandu Korea Utara.
-- BERNAMA
#DPRK
#Jorn Andersen
#Kim Yu Song
#Korea Utara
#Malaysia
#Media
#penterjemah
#perlawanan kelayakan
#Piala Asia
#Republik Demokratik Rakyat Korea