Media antarabangsa cadangkan gol Safawi ke Anugerah Puskas
Sinar Harian
Jun 15, 2023 08:30 MYT
Jun 15, 2023 08:30 MYT
JARINGAN pemain skuad bola sepak negara, Safawi Rasid ketika membantu Harimau Malaya mengatasi Kepulauan Solomon di Sultan Mizan Zainal Abidin, pada Rabu mendapat perhatian media antarabangsa.
Media antarabangsa dari Amerika Syarikat, Bleacer Report (B/R Football) mencadangkan supaya jaringan minit ke-77, bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dimasukkan Pan-gon sebagai pemain gantian dicalonkan ke Anugerah Puskas.
Menerusi ciapan ringkas di media sosialnya, B/R Football memuat naik jaringan Safawi berserta kapsyen "Tambah Safawi Rasid ke senarai Puskas,"
Muat naik video jaringan Safawi itu juga mendapat perhatian dan maklum balas dalam kalangan netizen yang turut memberi komen terhadap bintang Harimau Selatan berkenaan.
Sebagai rekod, jaringan pemain Pulau Pinang, Faiz Subri ketika membantu Harimau Kumbang menewaskan Pahang 4-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur pada 2016, membolehkan pemain tersebut mencipta sejarah bola sepak negara dan Asia merangkul Anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich, Switzerland.
Gol Faiz dipilih selepas menerima undian keseluruhan 59.46 peratus menewaskan pesaingnya dari Brazil, Johnath Marlone Azevedo da Silva (22.86 peratus), wakil tunggal pemain bola sepak wanita Daniuska Rodriguez dari Venezuela. (10.01) peratus.
Sebelum itu, Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Kepulauan Solomon, 4-1 dalam perlawanan persahabatan di Gong Badak, Kuala Terengganu.
Kepulauan Solomon yang berada di kedudukan 134 dunia bermula garang apabila memanfaatkan kesilapan penjaga gol Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang tersilap langkah menerusi Raphael Lea'i seawal minit ke-11.
Namun Harimau Malaya kendalian Pan-gon berstatus 138 dunia tidak goyang kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan Paulo Josue minit ke-40 sebelum Arif Aiman Hanapi menyempurnakan sepakan penalti minit ke-47 untuk memimpin perlawanan separuh masa pertama.
Separuh masa kedua Safawi membalas kepercayaan apabila dia tidak melepaskan peluang menambah jaringan ketiga pada minit ke-77, sebelum Lee Tuck melengkapkan kemenangan Harimau Malaya dengan gol keempat dalam minit 91. - Sinar Harian