McGregor pertimbang beli Chelsea
Astro Arena
Mac 2, 2022 07:50 MYT
Mac 2, 2022 07:50 MYT
BINTANG UFC, Conor McGregor, berminat untuk membeli Chelsea di celah-celah laporan bahawa Roman Abramovich mahu menjual kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Abramovich membeli juara Eropah itu pada 2003 dan pada Rabu mengesahkan sedang mencari pemilik baru, tetapi tidak akan mengambil langkah terburu-buru.
Malah, dia sedia melupuskan hutang yang ada di kelab itu bagi memudahkan urusan penjualannya dan menyalurkan keuntungannya kepada sebuah yayasan kebajikan yang baru diwujudkan buat mangsa perang di Ukraine.
Pemilik berusia 55 tahun itu terlebih dahulu menyerahkan hak 'pengelolaan dan penjagaan' kelab London berkenaan kepada pemegang amanah di bawah yayasannya berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Sebelum itu, jutawan Switzerland, Hansjorg Wyss, mendedahkan dia antara mereka yang ditawarkan untuk mengambil alih pemilikan Chelsea.
McGregor kemudian tampil menyatakan minat dengan membuat tawaran sebanyak £3 bilion (RM16.8b).
Atlet Ireland itu menciap di Twitter: "Saya ingin meneroka (peluang) @ChelseaFC ini."
McGregor pernah mengisytiharkan di media sosial bahawa dia sedia melakukan perubahan besar di Manchester United sekiranya dia membeli kelab itu.
Dalam masa sama, Wyss memberitahu akhbar Switzerland, Blick, bahawa dia hanya akan bersedia untuk membuat pembelian sekiranya dia dapat membentuk sebuah konsortium daripada pelabur.