McGregor peroleh lesen tinju demi cabar Mayweather?

Astro Arena
Disember 1, 2016 13:34 MYT
BINTANG MMA, Conor McGregor, disahkan telah memperoleh lesen tinju profesional, sekaligus menguatkan khabar angin bahawa dia akan menceburi sukan itu bagi mencabar Floyd Mayweather Jr.
McGregor menerima lesen tersebut pada Rabu, sekaligus memberi bayangan spekulasi pertembungan di antara jaguh Ireland itu dan Mayweather dijangka bertambah hangat.
"Dia telah mendapat lesennya hari ini," Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Sukan Daerah California, Andy Forster, memberitahu MMAFighting.com.
"Dia kini peninju berlesen California.
"Dia sememangnya berkelayakan. Saya mahu melihat dia beraksi di California tetapi dia perlu berdepan lawan yang sesuai. Kami gembira untuk memberikan lesen tersebut kepadanya. Kami teruja kerana dia kini sah menjadi peninju daerah California."
McGregor, 28 tahun, ketika ini merupakan penyandang juara UFC kategori lightweight dan bekas juara UFC kategori featherweight.
Sementara itu, Mayweather, 39 tahun, sebelum ini berkata dia sudah bersara selepas merekodkan 49 kemenangan, namun memberi bayangan akan kembali ke gelanggang susulan McGregor memuat naik poster seakan-akan mencabar Mayweahter, Mei lalu.
Selasa lalu, jurulatih McGregor, John Kavanagh, memberitahu The Sun bahawa perbincangan di antara kedua-dua jaguh itu sudah pun berjalan.
"Saya boleh katakan, pertembungan itu mungkin akan berlaku tahun hadapan," katanya.
"Adakah ia akan menjadi kenyataan? Itu saya tidak tahu, tetapi jika ia berlaku, saya katakan di sini ia bukan satu kejutan."
#Conor McGregor #Floyd Mayweather Jr #MMA #tinju
;