McGregor akui miliki teknik kalahkan Islam Makhachev

Sinar Harian
Oktober 24, 2022 12:43 MYT
Islam Makhachev juara lightweight UFC selepas menewaskan Oliveira. - Foto Agensi/Sinar Harian
BINTANG UFC, Conor McGregor mencetuskan sensasi apabila mendakwa dia memiliki teknik untuk mengalahkan Islam Makhachev, selepas Charles Oliveira gagal mengatasi petinju itu di UFC 280, Abu Dhabi sebelum ini.
Biarpun begitu McGregor mengakui kagum dengan corak pertarungan dipamerkan Islam Makhachev di Emiriah Arab Bersatu (UAE), namun menegaskan telah membangunkan teknik pertarungannya sendiri untuk mengalahkan petinju Dagestan tersebut sekiranya kedua-duanya bertemu di Octagon tahun depan.
“Pertarungan dan persembahan yang amat bagus daripada Islam Makhachev.
"Saya telah pun mencipta teknik yang akan dapat mengalahkan Islam Makhachev, ia merupakan penilaian kemahiran dan pertarungan," ujar McGregor sebelum memadamkan ciapannya.
Untuk rekod, Islam Makhachev muncul juara lightweight UFC selepas menumpaskan petinju Brazil, Oliveira menerusi submission pusingan kedua di Abu Dhabi.
Kemenangan berpihak Islam Makhachev selepas tekniknya berjaya 'mengunci' pemegang rekod UFC itu menerusi 16 kemenangan submission.
Sementara itu, petinju Amerika Syarikat (AS), Jake Paul mengulas komen petarung Ireland tersebut berkata: “Teknik yang berjaya dibina McGregor adalah teknik kepantasan menggunakan jari di media sosial seperti memadamkan ciapan dengan segera. Islam Makhachev akan kalahkan dia di pusingan pertama, itu sahaja," katanya. - Sinar Harian
#Conor McGregor #lightweight UFC #Islam Makhachev #tinju
;