McClean selar pengkritik Ireland yang sentiasa tidak puas hati
Astro Arena
Oktober 10, 2016 12:30 MYT
Oktober 10, 2016 12:30 MYT
JAMES McClean menyelar pengkritik Republik Ireland selepas dua golnya mengesahkan kemenangan 3-1 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia di Moldova.
Ireland membuka kempen kelayakan mereka dengan meraih keputusan seri yang sukar di Serbia sebelum kemenangan yang kurang meyakinkan di tempat sendiri ke atas Georgia.
McClean berasakan liputan yang diterima Ireland selepas perlawanan berkenaan adalah tidak adil dan sekali lagi mensasarkan media selepas kemenangan di Moldova yang menyaksikan pasukan kendalian Martin O'Neill berkongsi kedudukan teratas Kumpulan D.
“Kami mendapat banyak bidasan selepas perlawanan dengan Serbia, banyak kritikan selepas perlawanan dengan Georgia, dan kami tidak mahu perkara yang sama berulang,” katanya kepada Sky Sports.
"Saya fikir ia tidak adil. Saya fikir akhbar-akhbar Ireland hendaklah menerima hakikat kami tidak boleh semudah-mudahnya mengatasi pasukan lawan.
"Kami sentiasa sebuah pasukan yang bekerja keras, tetapi kemenangan tidak pernah mencukupi.
“Kami gembira untuk mendapat kemenangan dan kami gembira meraih tujuh mata.”
McClean percaya bahawa Ireland berada dalam situasi “tidak boleh menang” apabila ia berkaitan dengan memuaskan hati pengkritik mereka.
“Penyokong kami hebat. Mereka mengikuti kami, baik di tempat sendiri mahupun di tempat lawan. Penyokong kami menakjubkan.
“Tapi atas sebab-sebab tertentu, kami seolah-olah berada dalam situasi 'tidak boleh menang' dengan media.
“Jika kami bermain bola sepak dengan cantik dan tidak menang, (mereka mengatakan) kami sepatutnya menang. Jika kami tidak bermain bola sepak dengan cantik dan kami menang, (mereka sebaliknya mengatakan) kami perlu bermain bola sepak yang lebih baik.
“Saya sentiasa antara yang mengatakan kemenangan adalah satu kemenangan, tidak kira bagaimana ia diperoleh.”