Mbappe maklumkan hasrat tinggalkan PSG - Laporan

Agensi
Februari 16, 2024 08:15 MYT
Kylian Mbappe sudah memaklumkan kepada pengurusan Paris St Germain (PSG) bahawa dia akan meninggalkan kelab itu pada Julai depan sebagai pemain bebas selepas tujuh tahun menyertai mereka.
KAPTEN Perancis, Kylian Mbappe sudah memaklumkan kepada pengurusan Paris St Germain (PSG) bahawa dia akan meninggalkan kelab itu pada Julai depan sebagai pemain bebas selepas tujuh tahun menyertai mereka, lapor laman web The Athletic pada Khamis.
Pemain yang membantu Perancis memenangi Piala Dunia 2018, menandatangani kontrak dengan PSG dari Monaco pada 2017 dengan harga 180 juta euro (AS$194 juta) untuk menjadi pemain kedua termahal selepas pemain Brazil Neymar, yang menyertai juara Perancis itu pada tahun yang sama dengan 222 juta euro.
"Mbappe telah memaklumkan keputusannya kepada PSG tetapi terma pemergiannya masih belum dipersetujui sepenuhnya. Pengumuman rasmi dijangka sebaik keadaan dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang," kata laporan itu.
Penyerang berusia 25 tahun itu, yang membantu kelab ibu negara itu memenangi lima kejuaraan Ligue 1 dan tiga Piala Perancis, adalah penjaring terbanyak sepanjang masa PSG dengan 243 gol dalam 290 penampilan.
PSG masih belum memberi sebarang komen mengenai laporan berkenaan.
Pada tahun lalu, Mbappe menghantar surat kepada PSG menyatakan dia tidak akan mengambil pilihan untuk melanjutkan kontraknya selama setahun apabila ia tamat pada bulan Jun.
Dia yang telah lama dikaitkan dengan Real Madrid, dilaporkan menolak tawaran 200 juta euro ($215.36 juta) pada 2021.
Mbappe sekali lagi ditetapkan untuk berpindah ke pasukan LaLiga itu pada 2022 sebelum mengumumkan lanjutan kontrak dengan PSG sebelum jendela perpindahan dibuka. - Agensi
#Kylian Mbappe #Kylian Mbappe tinggalkan PSG #Paris St Germain #kapten Perancis
;