Mbappe bakal cetus masalah kepada Real Madrid

Sinar Harian
Mac 23, 2024 11:40 MYT
Kylian Mbappe. (Foto AP)
PRESIDEN Barcelona, Joan Laporta berkata dia tidak cemburu dengan potensi perpindahan Kylian Mbappe ke Real Madrid dan menjangkakan kedatangan pemain antarabangsa Perancis itu boleh memberikan masalah kepada Real.
Mbappé dijangka menyertai Real apabila kontraknya di Paris Saint-Germain (PSG) tamat pada musim panas ini dengan gergasi LaLiga itu berharap dapat memuktamadkan perjanjian dengan pemain itu tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Laporta mendakwa terdapat masalah dalam perjanjian itu termasuk pendedahan gaji yang akan diberikan Mbappe dan hakikat dia lebih suka bermain di bahagian kiri iaitu posisi yang sedang digalas Vinícius Júnior.
"Tidak, tidak sama sekali," kata Laporta apabila ditanya sama ada dia cemburu dengan spekulasi Mbappe ke Real.
"Tetapi saya tidak tahu sama ada mereka akan menandatanganinya atau tidak. Jika mereka melakukannya mereka akan menghadapi masalah kerana perlu melepaskan seorang pemain di posisi kiri.
"Bercakap mengenai jumlah gaji yang terlibat (dalam perjanjian itu), ia pasti akan mencetuskan keadaan tidak harmoni bilik persalinan," katanya.
Tonggak Perancis itu akan menyertai barisan hadapan Real yang sudah mempunyai Vinícius, Jude Bellingham, Rodrygo, Brahim Díaz dan Joselu yang telah memacu Real ke Puncak LaLiga dan ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Walaupun Mbappe akan tiba sebagai ejen bebas, dia masih akan mendapat gaji yang besar dan bayaran yang banyak.
#Real Madrid #Kylian Mbappe #perpindahan #PSG
;