Mayweather keluar dari persaraan, akan lawan 'kickboxer' Jepun
Astro Awani
November 5, 2018 07:46 MYT
November 5, 2018 07:46 MYT
BINTANG tinju dunia Floyd Mayweather Jr mengesahkan akan keluar daripada persaraan untuk kembali ke gelanggang pertarungan menentang atlet 'kickboxing' dari Jepun, Tenshin Nasukawa.
Memetik laporan AFP, Mayweather, 41 tahun, dijadualkan akan bertarung dengan Nasukawa, yang hampir separuh lebih muda daripadanya, pada malam tahun baharu di Saitama, Jepun.
Bagaimanapun, format pertarungan tersebut masih belum ditetapkan oleh penganjur, Rizin Fighting Federation.
“Saya mahu berikan apa yang mereka mahukan -- darah, peluh dan air mata,” kata Mayweather pada sidang media di Tokyo, Isnin.
"Saya mahu terus datang ke sini dan bawa petarung lain supaya syarikat saya dapat terus berkembang dan RIZIN dapat terus berkembang.
"Kita telah menganjur beberapa pertarungan besar di Amerika Syarikat, tetapi kita juga berharap untuk membawa banner Promosi Mayweather dan TMT (The Money Team) ke seluruh dunia," katanya lagi.
Mayweather juga sebelum itu telah memuat naik gambarnya memakai sarung tangan tinju di laman sosial Instagram miliknya pada hujung minggu lalu.
Sementara itu, Nasukawa, menerusi kenyataan yang diedarkan disifatkan sebagai atlet tempur terbaik di Jepun, yang kini memiliki rekod kemenangan 27-0.
Namun, atlet berusia 20 tahun tidak pernah bertarung sebagai petinju profesional, dan begitu juga dengan Mayweather yang tidak pernah pertarung dalam seni bela diri campuran (MMA).
Nasukawa juga dikatakan membuat ‘keputusan mudah’ untuk menerima tawaran berdepan Mayweather.
“Sejujurnya, ia satu tawaran yang mengejutkan tetapi saya menerimanya tanpa ragu-ragu,” kata Nasukawa.
“Ini adalah saat paling besar dalam hidup saya dan saya mahu menjadi orang yang mengubah sejarah. Saya akan melakukannya dengan penumbuk, dengan satu tumbukan - tengok saja nanti,” tambahnya.
Kali terakhir Mayweather bertarung ialah pada Ogos tahun lepas, apabila dia berjaya menewaskan bintang MMA Conor Mcgregor dari Ireland menerusi TKO pada pusingan kesepuluh.
Pertembungan di T-Mobile Arena, Las Vegas itu melebarkan rekod Mayweather, yang merangkul lima gelaran dunia dalam lima kategori berbeza, kepada 50-0.
Selain itu, baru-baru ini dia juga dilaporkan telah menyahut cabaran juara lightweight dunia UFC, Khabib Nurmagomedov untuk bertarung sekaligus menjadikan impian ramai peminat sukan tempur satu kenyataan.
Meskipun tidak jelas sama ada mereka mahukan pertandingan tinju ataupun MMA, Mayweather memaklumkan jika Khabib mahu berlawan, ia haruslah pertarungan tinju dan perlu diadakan di Las Vegas.
#Floyd Mayweather
#tinju
#MMA
#kickboxing
#Tenshin Nasukawa
#Saitama
#Rizin Fighting Federation
#The Money Team
#Conor McGregor
#Khabib Nurmagomedov