Mayweather dilucutkan gelaran juara dunia WBO

Astro Awani
Julai 7, 2015 13:11 MYT
Peraturan WBO memerlukan peninju untuk membayar 3 peratus hasil kemenangan peninju untuk gelaran juara dunia.
Peninju Floyd Mayweather dilucutkan gelaran juara welterweight Kesatuan Tinju Dunia (WBO) yang dimenanginya dua bulan lalu selepas menundukkan Many Pacquiao.
Mayweather dikatakan gagal melunaskan yuran US$200,000 yang dikenakan WBO selepas dia menewaskan Pacquiao dalam aksi 2 Mei lalu di Las Vegas yang turut mencatatkan pertembungan paling lumayan.
Mayweather membawa pulang US$220 juta wang hasil kemenangannya itu.
Peraturan WBO memerlukan peninju untuk membayar 3 peratus hasil kemenangan peninju untuk gelaran juara dunia dengan yuran maksimum berjumlah US$200,000.
Peraturan itu juga menghalang juara WBO untuk menyandang sebarang gelaran di mana-mana kategori pun.
Mayweather ketika ini memegang gelaran juara dunia WBC dan WBA bagi kategori middleweight dan welterweight masing-masing.
Penggantungan itu dibuat menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap WBO dari ibu pejabatnya yang berpangkalan di Puerto Rico itu pada Isnin.
#Mayweather #tinju #WBO
;