'Mati pun matilah... saya tidak menyesal' - Zii Jia
Sinar Harian
Januari 12, 2023 13:22 MYT
Januari 12, 2023 13:22 MYT
JAGUH badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia belum terfikir mahu kembali mendapatkan khidmat seorang jurulatih.
Sebaliknya, Zii Jia tetap dengan pendiriannya untuk bergerak solo selepas 'berpisah' dengan jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya pada November tahun lalu.
"Macam apa yang saya telah katakan sebelum ini, ini (tiada jurulatih) adalah jalan yang saya pilih... jadi saya perlu terima dan tanggung (akibatnya).
"Mati pun matilah... saya tidak menyesal dengan keputusan yang dibuat sebelum ini," kata Zii Jia kepada pemberita di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Rabu.
Terdahulu, Zii Jia terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal pada Terbuka Malaysia 2023 selepas tewas 21-13, 17-21, 19-21 kepada pemain muda dari Jepun, Kodai Naraoka dalam aksi pusingan pertama.
Kekalahan itu sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat badminton tempatan terhadap prestasi Zii Jia yang kini bergelar pemain nombor dunia.
Ketika diminta mengulas kekalahan kepada Naraoka, Zii Jia berkata, dia harus segera melupakan kegagalan terbaharunya itu dan bangkit pada kejohanan akan datang.
"Saya perlu bekerja keras dan lupakan kekalahan tadi. Masih banyak lagi kejohanan lain selepas ini dan saya akan cuba meraih keputusan lebih baik," ujarnya.
Terbuka India 2023 yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 22 Januari ini bakal menjadi medan terbaik buat Zii Jia bangkit menebus kekecewaannya itu.
Dalam aksi pusingan pertama Terbuka India 2023, Zii Jia dijadualkan menentang pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito - lawan yang menyingkirkannya di pusingan kedua Terbuka Malaysia tahun lalu. -- Sinar Harian