'Matchmaking' pertarungan, apa seterusnya selepas UFC 259?

Hilmi Ismail
Mac 10, 2021 20:47 MYT
Nama Islam Makhachev juga turut disebut-sebut susulan aksi cemerlang yang dipamerkan dalam Octagon, baru-baru ini. - Gambar Instagram/@UFC
SETIAP kali berakhirnya acara UFC, pasti topik perbualan dan perdebatan di kalangan penganalisis, pengkritik mahupun peminat MMA akan tertumpu kepada apakah langkah seterusnya?
Siapa yang bakal mencabar penyandang juara? Untuk yang menang, apakah pertarungan yang seterusnya? Bagi yang kalah, pertarungan mana yang sesuai buatnya?
Selepas acara UFC 259 yang berlangsung pada Ahad, perbualan hangat tertumpu kepada tiga pertarungan kejuaraan. Selain itu, nama Islam Makhachev juga turut disebut-sebut susulan aksi cemerlang yang dipamerkan dalam Octagon, baru-baru ini.
Berikut dilihat sebagai pilihan terbaik bagi mereka.
Jan Błachowicz
Petarung asal Poland ini mengejutkan ramai apabila berjaya menewaskan Israel Adesanya. Dengan kemenangan ini, Błachowicz sekali gus mengekalkan statusnya sebagai juara kelas light heavyweight.
Kelas light heavyweight nampak lebih mudah apabila Glover Teixeira hampir pasti mendapat peluang untuk mencabar Błachowicz selepas ini.
Teixeira yang berasal dari Brazil, menduduki ranking pertama dalam kelas tersebut dan telah pun menang sebanyak lima kali berturut-turut dalam pertarungannya sebelum ini.
Tambah menarik, Błachowicz sendiri ada menyebut nama Teixeira untuk mencabarnya ketika ditemu ramah selepas perlawanannya pada Ahad.
BACA: UFC 259: Blachowicz pertahan kejuaraan, Adesanya gagal percubaan jadi 'champ champ'
Israel Adesanya
Buat petarung asal Nigeria ini, walaupun tewas di tangan Błachowicz, dia masih kekal sebagai juara kelas tengah (middleweight). Dan keupayaannya sebagai antara 'striker' MMA terbaik dunia masih belum tercalar.
Adesanya bakal turun ke kelas berat asalnya selepas ini dan akan terus mempertahankan kejuaraannya di sana.
Namun setakat ini, belum lagi jelas mengenai siapakah petarung yang yang bakal mencabarnya nanti. Ini disebabkan kebanyakan petarung yang menduduki ranking tertinggi, akan bertarung selepas ini.
Antaranya ialah Robert Whittaker vs Paulo Costa dan Darren Till vs Marvin Vettori.
Pemenang dalam dua pertarungan tersebut mempunyai peluang yang baik untuk mencabar Adesanya.
Amanda Nunes
Legasi Nunes sebagai petarung MMA wanita terbaik sepanjang zaman memang tidak dapat disangkal lagi. Dia hanya memerlukan dua minit dan tiga saat untuk menewaskan pencabarnya, Megan Anderson.
Dengan kemenangan ini, Nunes telah berjaya mempertahankan kejuaraan featherweight miliknya sebanyak dua kali.
Sebagai juara dalam dua kelas berat berbeza, Nunes nampaknya bakal turun ke bantamweight selepas ini. Jalan terbaik untuk dia adalah mempertahankan kejuaraannya dalam bantamweight dengan bertarung menentang Julianna Pena.
Tidak mengalami sebarang kecederaan dalam pertarungan menentang Anderson, Nunes mampu kembali bertarung secepat mungkin. Bulan May 2021 nampak begitu sesuai untuknya dan juga untuk UFC.
BACA: UFC 259: Tewaskan Megan Anderson, Amanda Nunes kekalkan kejuaraan featherweight
Megan Anderson
Apa yang terbaik buat Anderson adalah berehat seketika dan duduk bersama pasukannya untuk menilai kembali prestasinya ketika menentang Nunes.
Ini penting bagi kelangsungan kariernya dalam MMA di masa hadapan. Anderson kini memegang rekod tiga kemenangan dan tiga kekalahan dalam UFC.
Selain itu, petarung Australia itu juga dilaporkan tidak lagi bersama UFC susulan kekalahannya dengan Nunes.
Memetik laporan MMA Fighting, UFC memaklumkan Anderson telah tamat kontraknya dengan organisasi tersebut.
Petr Yan dan Aljamain Sterling
Sterling sebagai pencabar kejuaraan diangkat sebagai pemenang selepas juara bertahan Yan melakukan serangan yang tidak dibenarkan dalam peraturan pertarungan MMA.
Yan yang sedang berdiri dilihat dengan sengaja melepaskan serangan lutut tepat ke arah kepala Sterling semasa dia rebah di kanvas Octagon.
Sterling yang jelas cedera dengan teruk tidak dapat meneruskan pertarungan dan diangkat sebagai pemenang kerana Yan diistihar hilang kelayakan kejuaraan.
Keputusan seperti ini jarang dilihat dalam sukan MMA dan ia pastinya mengundang kontroversi. Jadi, pertarungan semula antara Yan dan Sterling adalah pilihan yang terbaik dan ia perlu dimuktamatkan secepat mungkin.
Islam Makhachev
Sebagai rakan sepasukan Khabib Nurmagomedov, Islam dilihat sebagai pengganti legasi Khabib dan bakal juara dalam kelas ringan (lightweight).
Aksi Islam ketika beraksi menentang Drew Dober benar-benar membuktikan dia mampu bersaing dengan petarung bertaraf dunia yang lain.
Islam yang telah menang tujuh pertarungan berturut-turut layak diberi peluang bertemu dengan petarung dalam ranking sepuluh terbaik mahupun lima terbaik.
BACA: UFC 259: 7 kemenangan berturut-turut, Islam Makhachev kini sasar kejuaraan lightweight
Dia secara peribadi mencabar Tony Ferguson yang berada pada kedudukan ranking kelima untuk bertarung.
Selain Ferguson, antara petarung lain yang sesuai untuk mencabar Islam adalah seperti Rafael dos Anjos dan Kevin Lee. Dos Anjos pernah dijadualkan untuk bertarung dengan Islam sebelum ini manakala Lee pula pernah beberapa kali mencabar satu sama lain.
Terbaharu, menerusi laman Twitternya, Islam turut mencabar Dos Anjos untuk bertarung pada Julai ini.
Namun, cabaran utama UFC adalah untuk mendapatkan persetujuan mereka untuk mencabar Islam. Ini adalah kerana Islam berada pada kedudukan ke-14 dalam ranking kelas ringan.
#UFC #UFC 259 #MMA #Octagon #Islam Makhachev #Jan B achowicz #Israel Adesanya #Amanda Nunes #Petr Yan
;