Mat Yo masih hutang Kafa harga tebus kontrak
Astro Awani
Januari 3, 2013 07:02 MYT
Januari 3, 2013 07:02 MYT
Bekas penyerang Kelantan Norshahrul Idlah Talaha belum membayar harga tebus kontrak kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) walaupun telah menyertai Darul Takzim FC.
Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa berkata mengikut peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, sepatutnya membayar harga tebus kontrak tersebut dalam tempoh 30 hari selepas didaftarkan dengan pasukan baru.
Annuar Musa, yang tidak mendedahkan nilai harga tebus kontrak itu berkata Mat Yo juga masih mempunyai baki kontrak bernilai RM400,000 bersama Kafa.
Jelas beliau, walaupun FAM mempunyai kuasa untuk memutuskan seseorang pemain layak bermain atau tidak setelah menebus kontrak, namun perkara itu sepatutnya tidak diambil mudah.
Ia kerana dibimbangi pemain lain tidak akan mengikuti peraturan pada masa hadapan. Justeru, Annuar Musa berharap agar FAM dapat menyelesaikan masalah itu dengan segera kerana tidak mahu ia berpanjangan tanpa penyelesaina yang kukuh daripada kedua-dua pihak.
Polemik perpindahan Mat Yo menjadi isu hangat selepas menamatkan kontrak secara sebelah pihal walaupun masih berbaki 13 bulan bersama Kafa.