Masters Malaysia: Zii Jia, Axelsen buat perhitungan di final
Bernama
Mei 25, 2024 22:21 MYT
Mei 25, 2024 22:21 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas juara All England Lee Zii Jia hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran sulung di laman sendiri selepas mara buat pertama kali di pentas final Masters Malaysia di sini malam ini.
Didorong oleh sokongan padu penyokong tuan rumah di Arena Axiata di Bukit Jalil, pemain nombor 10 dunia itu, yang mengalami kekejangan ketika menewaskan pemain Denmark Anders Antonsen semalam, menang 21-15, 21-17 ke atas pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long dalam saingan separuh akhir dalam aksi ulangan final Terbuka Thailand Ahad lalu.
Juara Terbuka Thailand, Zii Jia, bagaimanapun, berdepan tugas berat pada perlawanan akhir esok apabila dijadual bertemu pemain nombor satu dunia Denmark, Viktor Axelsen.
Axelsen sedang memburu gelaran pertamanya tahun ini untuk menamatkan kemarau gelaran hampir enam bulan selepas kali terakhir memenangi kejuaraan siri Jelajah Akhir Dunia 2023 Disember lalu.
"Sejujurnya, ini bukan kali pertama saya membuat penampilan di final dua kali berturut-turut tetapi ini amat bermakna bagi diri saya di tempat sendiri kerana tidak pernah menyertai (mana-mana acara Jelajah Dunia) di Malaysia.
"Saya tidak fikir terlalu jauh tentang apa yang akan berlaku esok. Saya hanya mahu menenangkan diri, mendapatkan rehat yang secukup dan makan bagi menastikan kembali cergas. Selagi tiada kecederaan serius, saya akan beri yang terbaik di gelanggang," kata Zii Jia kepada pemberita selepas perlawanan.
Mengikut rekod pertemuan, Axelsen menang enam daripada sembilan pertemuan dengan Zii Jia termasuk kali terakhir pada saingan Piala Thomas di Chengdu, China, bulan lalu.
Sementara itu, dalam satu lagi separuh akhir sebelum itu, Axelsen hanya mengambil masa 38 minit untuk menyingkirkan Lu Guang Zu dari China 21-16, 21-13 untuk kemenangan keenamnya dalam banyak perlawanan menentang pemain nombor 19 dunia itu dalam percubaan untuk menjadi wakil Eropah pertama memenangi kejuaraan Masters Malaysia dua kali selepas kejayaan 2018.
Axelsen, penyandang juara Olimpik, menjanjikan pertarungan epik esok kerana kedua-dua pemain itu mempunyai alasan tersendiri untuk mengintai mahkota Super 500 itu.
"Esok ia adalah 'mano a mano (berlawan secara langsung) dan kita akan lihat siapa yang menang. Saya sangat gembira kerana berada di final dan saya tidak merasakan apa-apa tekanan, hanya menikmatinya di gelanggang," katanya.
Pencapaian terbaik Zii Jia dalam Masters Malaysia ialah pencapaian separuh akhir pada 2020 apabila tewas kepada juara aKento Momota dari Jepun manakala mara ke suku akhir pada 2019.
Walau bagaimanapun, kempennya ditamatkan awal dalam edisi lain apabila tersingkir pada pusingan pertama pada 2017 dan pusingan kedua pada 2018 dan 2023, manakala dia tidak mengambil bahagian pada 2022.
Kejohanan itu dibatalkan pada 2021 kerana wabak COVID-19.
Datuk Lee Chong Wei merupakan pemain negara kali terakhir memenangi kejuaraan pada 2016 manakala Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing merangkul kejuaraan beregu campuran setahun kemudian.
Selain Zii Jia, pasangan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut mara ke final dan akan mencabar pasangan Indonesia Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari esok.
-- BERNAMA