Masters Malaysia: Lee Zii Jia terkilan gagal peraga aksi terbaik
Astro Arena
Mei 26, 2024 06:30 MYT
Mei 26, 2024 06:30 MYT
LEE Zii Jia tidak berpuas hati dengan mutu persembahan dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia selepas tunduk 6-21, 22-20, 13-21 kepada Viktor Axelsen di Axiata Arena, semalam.
Dia kurang cergas menuju perlawanan akhir ini memandangkan perlu beraksi perlawanan ke-10 dalam tempoh dua minggu, tetapi ia tidak menghalangnya untuk bersaing sepanjang 63 minit berdepan pemain nombor satu dunia itu.
"Ini merupakan satu pengalaman berharga buat saya sepanjang dua minggu ini untuk berdepan pelbagai jenis pemain.
"Saya menimba banyak ilmu, harap-harap saya dapat gunakan pengalaman ini dalam kejohanan akan datang dan menuju Sukan Olimpik Paris.
"Saya masih belum berpuas hati dengan tahap keseluruhan persembahan sendiri hari ini, saya patut beraksi lebih baik.
"Saya perlu terima keputusan ini. Walaupun cergas sepenuhnya, saya masih belum pasti mampu mengalahkan pemain berpengalaman sepertinya.
"Saya masih mencari rentak terbaik. Saya di landasan tepat tapi saya seharusnya terus pamer peningkatan," katanya.
Pada masa sama, Lee mengakui belum pasti menarik diri menyertai Terbuka Singapura selepas dua minggu berhempas pulas.