Masters Malaysia: Aaron-Wooi Yik mara, Sze Fei-Nur Izzuddin terkandas
Bernama
Julai 5, 2022 23:28 MYT
Julai 5, 2022 23:28 MYT
KUALA LUMPUR: Beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kempen Masters Malaysia 2022 dengan cemerlang apabila menewaskan Akira Koga-Taichi Saito dari Jepun pada pusingan pertama hari ini.
Pilihan kelima kejohanan itu tidak mengecewakan peminat di Axiata Arena dengan mempamerkan permainan yang baik untuk mencatatkan kemenangan 21-16, 21-19.
Pemenang gangsa Olimpik Tokyo itu akan menentang Kim Gi Jung-Kim Sa Rang dari Korea Selatan yang mengetepikan beregu Taiwan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan 14-21, 21-15, 21-19.
Aaron, yang ditemui selepas perlawanan mengakui masih belum melupakan kekalahan pada separuh akhir Sabtu lepas kepada beregu nombor dua dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-23, 9-21 dalam Terbuka Malaysia 2022.
"Perasaan itu masih ada ketika berada di gelanggang dan kami harap dapat mengatasinya dalam perlawanan menentang beregu Korea Selatan esok. Kami tidak akan ambil mudah lawan kami selepas ini kerana mereka adalah beregu yang bagus," katanya.