Masters Jepun: Kebangkitan bergaya pacu Lee Zi Jia ke suku akhir tewaskan ranking 34 dunia
Astro Arena
November 14, 2024 17:18 MYT
November 14, 2024 17:18 MYT
KEBANGKITAN bergaya memacu pemain perseorangan profesional negara, Lee Zi Jia, melangkah ke suku akhir Masters Jepun selepas berhempas-pulas menewaskan Su Li Yang dalam pertembungan rubber set 19-21, 21-8, 21-16 di Kumamoto, sebentar tadi.
Pemain yang berada di ranking ketujuh dunia itu terlebih dahulu memimpin permainan 15-12 sebelum wakil dari Taiwan itu mengikat kedudukan 15-15 dalam aksi penuh debaran itu.
Atlet kelahiran Kedah itu kemudiannya mendahului semula 18-16 tetapi kebangkitan segera yang dipamerkan pemain ranking ke-34 itu jelas menutup ruang buat Zi Jia meraih kemenangan di set pertama susulan tumpas 19-21.
Memasuki set kedua, pilihan kelima kejohanan itu mengorak langkah lebih pantas untuk mengutip mata 11-5 demi menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya, esok.
Perbezaan sebanyak 13 mata nyata memberikan kelebihan buat pemain nombor satu negara apabila bertindak garang menamatkan permainan 21-8 menuju set penentuan.
Kedua-dua pemain tampak tidak mengaku kalah susulan persaingan sengit diterjemahkan bagi merebut slot ke suku akhir.
Zi Jia mengungguli set terakhir 13-7 dengan melontarkan asakan tanpa henti yang gagal ditangani oleh Su Li Yang. Zi Jia juga bijak menghidu peluang terbaik untuk menewaskan lawannya itu 21-16 dalam tempoh 62 minit, sekali gus menoktahkan kemenangan bergaya.
Selepas ini, Rasmus Gemke atau Jonatan Christie bakal menjadi halangan terbaru di peringkat suku akhir kejohanan bertaraf 500 itu yang akan berlangsung esok. -- Stadium Astro