Masters Indonesia: Zii Jia mara, Jun Hao kandas
Bernama
Januari 25, 2024 18:01 MYT
Januari 25, 2024 18:01 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia meneruskan rentak positif dalam Masters Indonesia 2024 apabila mara ke suku akhir dengan menumpaskan wakil Hong Kong, Ng Ka Long di Istora Senayan, Jakarta, hari ini.
Zii Jia, pemain ke-10 dunia itu mencatatkan keputusan 22-20 dan 21-15 pada pertarungan pusingan kedua yang berlangsung selama 46 minit.
Kemenangan ke atas pemain Hong Kong itu merupakan kali ketiga buat Zii Jia selepas pernah menewaskan Ka Long di Terbuka Jerman 2019 dan Sukan Asia 2022.
Bekas juara All England itu akan berdepan dengan Brian Yang dalam perebutan tiket ke separuh akhir apabila pemain Kanada itu menewaskan wakil India, Priyanshu Rajawat 21-18, 21-14.
Turut mengiringi Zii Jia ialah beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menewaskan rakan senegara Chan Peng Soon-Cheah Yee See, 21-12 dan 21-16.
Pemenang pingat emas Terbuka Korea 2022 itu seterusnya akan bertemu pilihan pertama kejohanan Zheng Si Wei- Huang Ya Qiong dari China selepas menewaskan Terry Hee Yong- Jessica Tan Wei dari Singapura, 21-12, 16-21, 21-19, dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.
Mengikut rekod pertemuan sebelum ini, Kian Meng- Pei Jing ditewaskan sebanyak lapan kali oleh pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang ditewaskan pilihan ketiga kejohanan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia, 15-21 dan 17-21.
Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pula ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 10-21 dan 16-21.
Satu lagi beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ditumpaskan pasangan Indonesia Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati, 21-12, 13-21 dan 14-21.
-- BERNAMA