Masters Indonesia: Lee Zii Jia mudah ke pusingan kedua
Astro Arena
Jun 8, 2022 06:45 MYT
Jun 8, 2022 06:45 MYT
PERSEORANGAN lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, tidak berdepan masalah untuk ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters Indonesia (Indonesia Masters) selepas menewaskan lawan dari Thailand, Kantaphon Wangcharoen, di Istora Gelora Bung Karno malam tadi.
Turun selaku pemain pilihan kelima kejohanan itu, Lee Zii Jia hanya memerlukan 38 minit unruk mencatatkan kemenangan 21-16, 21-12.
Pemain berusia 24 tahun itu seterusnya akan menghadapi wakil Belanda, Mark Caljouw, bagi penentuan ke suku akhir hari ini.
Dalam pada itu, seorang lagi perseorangan lelaki profesional, Liew Daren, tidak dapat meneruskan kemaraan selepas tewas 16-21, 21-23 kepada pemain China, Lu Guangzu.
Turut terkandas ialah Soong Joo Ven, yang disingkirkan oleh pemain pilihan ketiga dari Taiwan, Chou Tien-Chen, dengan kekalahan 15-21, 20-22.