Masters Indonesia: Ee Yi tunggu jawapan BAM insiden salah daftar nama
Astro Arena
Disember 23, 2022 08:45 MYT
Disember 23, 2022 08:45 MYT
PEMAIN beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi, masih menunggu jawapan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhubung insiden kesilapan mendaftarkan namanya bagi Kejohanan Badminton Masters Indonesia di Jakarta bermula 24 Januari depan.
Baginya, walaupun kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku, dia tetap akur dengan segala kemungkinan yang bakal tiba.
Bagaimanapun, kesilapan yang berlaku itu mungkin akan memberikan impak terhadap usaha Ee Yi dan pasangannya, Ong Yew Sin, dalam mengumpulkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam satu temu bual Nadi Arena, dia berkata: "Ia memang tidak patut berlaku.
"Bagi saya tidak kira pemain bebas atau pemain dalam BAM, kesilapan ini tidak patut berlaku dan tidak akan boleh berlaku.
"Saya tidak tahu apa isu yang mereka hadapi tetapi ia sudah berlaku jadi saya cuba untuk menerima sahajalah.
"Kalau dapat menyertai Masters Indonesia memang lebih bagus tetapi kalau tidak dapat, tidak boleh buat apa, ia sudah berlaku.
"Semuanya masih dalam perbincangan dan BAM pun masih belum memberikan jawapan, jadi kami masih menunggu lagi. Mungkin minggu depan akan tahu," katanya.