Masters Cincinnati: Keys raih kemenangan pertama ke atas Swiatek

Astro Arena
Ogos 19, 2022 11:30 MYT
Aksi Madison Keys membalas hantaran Iga Swiatek ketika Kejohanan Tenis Masters Cincinnati di Mason, Ohio, 18 Ogos 2022. (Foto AP)
MADISON Keys mengejutkan pemain pilihan utama, Iga Swiatek, dengan kemenangan 6-3, 6-4 untuk mara ke suku akhir Kejohanan Tenis Masters Cincinnati awal pagi tadi.
Keys turun dalam perlawanan itu dengan sasaran untuk meraih kemenangan pertamanya ke atas pemain nombor satu dunia berkenaan dalam percubaan keenam selepas gagal memenangi sebarang set dalam lima pertemuan sebelumnya.
Juara edisi 2019 itu tewas besar 1-6, 0-6 kepada Swiatek dalam suku akhir Terbuka Indian Wells awal tahun ini tetapi kali ini, dia membuka satu lembaran berbeza.
Selepas servisnya kelihatan menjadi sejak permulaan aksi, Keys mempamerkan penguasaan penuh untuk memenangi set pertama 6-3 dan mendahului 5-0 dalam set berikutnya.
Swiatek menyedari dia perlu menyelamatkan mata akhir berkenaan, di mana dia meraih 11 daripada 12 mata untuk merapatkan jurang kepada 3-5.
Pemenang enam gelaran WTA musim ini itu kemudian menyelamatkan satu lagi mata akhir dalam game kesembilan, sekali gus memperlihatkan kebangkitan yang cuba dipamerkannya.
Bagaimanapun, bekas finalis Terbuka Amerika Syarikat, Keys, memberikan respons terbaiknya untuk menewaskan Swiatek, yang kini merekodkan 4-4 sejak rentetan 37 perlawanan tanpa kalahnya ditamatkan Alize Cornet dalam Kejohanan Wimbledon lalu.

Madison's MOMENT 2019 champion @Madison_Keys records her first-ever victory over a World No.1, taking out Swiatek, 6-3, 6-4 on home soil!#CincyTennis pic.twitter.com/GjrBHcXJe5

— wta (@WTA) August 18, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Madison Keys #Masters Cincinnati #Iga Swiatek #tenis
;