Mason Greenwood didakwa lakukan cubaan rogol
Astro Arena
Oktober 16, 2022 08:15 MYT
Oktober 16, 2022 08:15 MYT
PEMAIN Manchester United, Mason Greenwood, didakwa atas beberapa kesalahan termasuk percubaan merogol dan menyerang, demikian kata Crown Prosecution Service (CPS).
Pemain berusia 21 tahun itu, yang memiliki satu penampilan antarabangsa bersama skuad senior England, akan tiba di Mahkamah Majistret Greater Manchester esok.
CPS turut berkata bahawa kesemua pertuduhan itu adalah daripada sseorang pengadu yang sama.
Timbalan Ketua Pendakwa Raya CPS Barat Laut, Janet Potter, berkata dalam satu kenyataan: "CPS hari ini telah memberikan kuasa kepada Polis Greater Manchester untuk mendakwa Mason Greenwood, 21, dengan percubaan merogol, melakukan pemaksaan dan serangan sehingga menyebabkan kecederaan badan yang nyata.
"Kesemua tiga dakwaan itu terkait dengan seorang pengadu yang sama. Pendakwa raya pakar pertuduhan merogol daripada Unit Kerja Kes Kompleks CPS Barat Laut meluluskan pertuduhan itu berikutan semakan fail bukti yang diterima daripada pihak Polis Greater Manchester.
"Sesi mahkamah pertama defendan akan berlangsung pada hari Isnin, 17 Oktober di Mahkamah Majistret Greater Manchester."
Greenwood kali pertama ditahan pada Januari lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan tidak lama kemudian.