MASMMAA sasar lahirkan lebih ramai atlet MMA di Malaysia
Haider Yutim
Januari 2, 2020 00:51 MYT
Januari 2, 2020 00:51 MYT
Persatuan MMA Malaysia (MASMMAA) menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai atlet seni bela diri campuran (MMA) di negara bagi memperkembangkan lagi sukan tempur itu di tanah air.
Menurut presidennya Rashid Salleh, tahun 2019 menyaksikan sambutan yang agak menggalakkan bagi sukan tersebut menerusi penganjuran beberapa kejohanan MMA tempatan.
Bagaimanapun, katanya terdapat beberapa cabaran yang masih perlu diharungi oleh sukan itu di negara ini.
"Tahun-tahun yang lalu merupakan tahun yang agak mencabar bagi sukan MMA amatur di Malaysia, tetapi pada 2019 kita telah melihat sedikit kebangkitan.
"Di tahun pertama saya sebagai Presiden MASMMAA, kita telah menyaksikan penganjuran beberapa kejohanan tempatan dan pihak penganjur agak berterus terang tentang kurangnya perhatian yang diberikan terhadap sukan ini. Kami ambil maklum tentang perkara itu," kata Rashid dalam satu kenyataan di sebuah video yang dimuat naik di laman Instagram MASMMAA.
Katanya, satu lagi cabaran besar yang dihadapi ialah MMA peringkat remaja dan Rashid berkata pihaknya akan terus berusaha untuk memperbaikinya di tahun akan datang.
"Untuk 2020, MASMMAA akan menambah lagi jumlah pegawai di negara ini dan merancang untuk memulakan program kejurulatihan yang akan dikendalikan oleh Persekutuan Seni Bela Diri Campuran Antarabangsa (IMMAF).
"Kami juga bercadang untuk menambah jumlah juri dan 'cutman'," katanya lagi.
Menurutnya, pihak MASMMAA mahu menyaksikan penyertaan lebih ramai atlet di Malaysia melalui sesi ujibakat serta pertandingan MMA di seluruh negara.
Berdasarkan ranking IMMAF, Malaysia kini berada di tempat ke-25 dunia untuk sukan tersebut.
Pada November lalu, untuk pertama kalinya Malaysia telah berjaya meraih pingat dalam kejohanan dunia IMMAF yang diadakan di Manama, Bahrain menerusi atlet wanita negara, Colleen Augustin.
Selain itu, sebuah acara amal untuk memupuk kesedaran serta mengumpul dana bagi sukan itu turut dianjurkan bersama oleh badan media Twentytwo13 dan MASMMAA.
Setakat ini, beberapa promosi tempatan telah pun giat mengetengahkan sukan ini ke peringkat lebih tinggi seperti Ultimate Beatdown, F3, Octagon Fighting Championship, Malaysian Fight Fest dan beberapa lagi.
Sebelum ini, kejohanan amatur Malaysian Invasion (MIMMA) juga telah melahirkan beberapa atlet-atlet handalan negara seperti Agilan Thani, Jihin Radzuan, Keanu Subba dan Muhammad Aiman.
Mereka menyertai atlet-atlet terkenal tanah air seperti Ev Ting, Gianni Subba, Saiful Merican, Ann Osman, AJ Lias Mansor dan Peter Davis yang beraksi dalam promosi terbesar Asia, ONE Championship.
#Agilan Thani
#F3
#IMMAF
#Jihin Radzuan
#Malaysian Fight Fest
#MASMMAA
#MIMMA
#MMA
#Octagon Fighting Championship
#ONE Championship
#Persatuan MMA Malaysia
#Rashid Salleh
#seni bela diri campuran
#Ultimate Beatdown