Masih terlalu awal untuk bincang masa depan Fabregas - Conte

Astro Arena
November 5, 2016 14:21 MYT
Fabregas sedang berusaha untuk pulih daripada kecederaan paha yang menyisihkannya daripada empat perlawanan.
ANTONIO Conte enggan menawarkan sebarang jaminan kepada Cesc Fabregas berhubung masa depannya di Chelsea dengan menyatakan bulan November masih lagi terlalu awal untuk membincangkan perancangannya terhadap pemain tengah itu.
Fabregas sedang berusaha untuk pulih daripada kecederaan paha yang menyisihkannya daripada empat perlawanan, namun itu tidak menghentikan spekulasi yang mengaitkannya akan dipinjamkan ke kelab lain pada Januari nanti.
Conte, yang diajukan soalan mengenai pemain tengah Sepanyol itu dalam sidang media menjelang pertembungan dengan Everton, berkata, "Kita berada pada awal November dan adalah penting untuk bercakap mengenai keadaan semasa.
"Situasi seperti ini masih awal untuk dibincangkan. Fabregas adalah pemain Chelsea dan saya gembira memilikinya di dalam skuad. Dia sedang menjalani rawatan dan berusaha menemui rentak sebenar serta kekal bersama skuad ini untuk baki musim ini."
Selain Fabregas, pertahanan Perancis, Kurt Zouma, juga ditimpa masalah kecederaan dan Conte berkata, " Cesc dan Kurt Zouma sudah mula kembali berlatih bersama pasukan utama pada minggu ini.
"Adalah normal selepas berehat panjang, anda perlu mendapatkan semula sentuhan terbaik dan saya berpendapat selepas jadual antarabangsa nanti, mereka boleh menjadi pilihan untuk diturunkan.
"Saya gembira dengan Cesc kerana dia merupakan pemain yang sangat penting buat kami, begitu juga dengan Kurt, saya juga gembira untuknya. Dia terbabit dalam perlawanan bersama skuad bawah 23 tahun dan dia akan menghadapi satu lagi perlawanan pada Selasa nanti.
"Dia sedang mencari rentak dan itu sangat-sangat bagus. Saya harap dia akan kekal bersama kami sehingga penghujung musim ini."
Conte turut menjelaskan mengenai masa depan John Obi Mikel yang masih belum diberi kesempatan beraksi sejak ketibaan pengurus Itali itu, di mana kontraknya bakal tamat pada akhir musim ini.
"Adalah normal setiap pasukan mempunyai pemain yang menuju tahun akhir kontraknya. Kami akan bersama-sama membuat keputusan.
"Apa yang penting adalah Mikel berusaha dengan baik kerana sebelum ini, dia menghadapi beberapa masalah kecederaan.
"Adakah saya berbincang dengannya? Tidak, tapi adalah penting untuk fokus pada saingan dan apa yang berlaku di atas padang. Kemudian, kami boleh menghadapi situasi lain."
#Antonio Conte #Cesc Fabregas #Chelsea #masa depan
;