Masih terlalu awal letak sasaran buat skuad badminton di Kemboja
Bernama
Februari 15, 2023 10:40 MYT
Februari 15, 2023 10:40 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM) Michelle Chai menyifatkan, masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran buat skuad badminton muda negara yang akan menggalas cabaran Malaysia di Sukan SEA 2023 Kemboja dari 5 hingga 17 Mei ini.
Beliau berkata setakat ini, 38 pemain muda berada dalam senarai panjang Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun hanya 10 pemain lelaki dan 10 pemain wanita akan dipilih ke temasya dwitahunan itu.
Michelle memaklumkan kesemua pemain itu, akan dihantar menerusi kategori A iaitu kos ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dalam usaha membutirkan pingat di temasya sukan berprestij di Asia Tenggara itu.
"Saya rasa sekarang terlalu awal untuk menetapkan (sasaran), kerana kita kena tengok dahulu siapa pencabar kita di Kemboja...sebab yang dihantar di sana memang atlet muda untuk gilapkan cara permainan mereka, serta dapatkan pengalaman di pentas profesional.
"Lagipun, tarikh Sukan SEA bertindih dengan Piala Sudirman, jadi sudah semestinya pasukan terbaik akan dihantar di sana (Piala Sudirman). Namun, kami masih yakin dengan kebolehan pemain muda di bawah BAM," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma MOM di sini semalam.
Piala Sudirman di Suzhou, China dijadual berlangsung dari 14 hingga 21 Mei ini.
Pada Sukan SEA edisi ke-31 di Hanoi, Vietnam tahun lepas, skuad badminton hanya meraih satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
-- BERNAMA