Masih muda, belum masa Pandelela terima gelaran Datuk - Abdul Karim

Astro Awani
Mei 7, 2021 20:00 MYT
Abdul Karim menjelaskan Kerajaan Negeri Sarawak ada cara tersendiri untuk memberi penghargaan kepada Pandelela. - Foto BERNAMA
KUCHING: Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan gelaran ‘Datuk’ belum sesuai diberi kepada ratu terjun negara, Pandelela Rinong buat masa ini.
Jelas Abdul Karim, Pandelela masih terlalu muda dan gelaran berkenaan akan menyukarkannya untuk berinteraksi bersama rakannya secara normal di luar.
"DIa baru berusia 28 tahun, jangan manjakan dia.
“Maksud saya, boleh kamu bayangkan seseorang berusia 20-an mempunyai gelaran Datuk?
“Ini akan menyukarkannya untuk berinteraksi secara normal di luar apabila ada rakan memanggilnya Datuk,”katanya.
Abdul Karim memberi reaksi itu sebagai membalas pertanyaan daripada beberapa pihak sama ada Sarawak akan memberikanganjaran kepada pemenang pingat emas tunggal Malaysia dalam Kejohanan Piala Dunia Terjun Fina di Jepun.
Jelasnya lagi, beliau berpendapat tidak baik untuk membiasakan atau memberi terlalu banyak ganjaran kerana kepada atlet kerana ia boleh merosakkan atlet terbabit.
"Sarawak mempunyai cara tersendiri untuk memberi penghargaan kepada mereka," katanya.
Abdul Karim dalam pada itu memuji Pandelela kerana banyak mempengaruhi minat anak muda Sarawak untuk menceburi sukan terjun.
"Saya harap dengan pingat emas terbaru yang dicapai oleh Pandelela, ini akan menimbulkan minat lebih banyak anak mudaterlibat dalam sukan ini dan juga sukan air lain," katanya.
Untuk rekod, penerjun dari Sarawak itu sebelum ini mengharumkan nama Malaysia dan Sarawak dengan memenangi pingat perak pada Olimpik Rio 2016 dan gangsa di London pada 2012.
BACA: Pandelela 'menyinari' skuad terjun di Piala Dunia FINA 2021
BACA: Agong congratulates Pandelela on winning gold in World Cup
#Pandelela Rinong #Piala Dunia #Abdul Karim #Sarawak #FINA
;