Masih ada peluang kedua buat badang negara 'sangkut' doping - PABM
Bernama
Disember 6, 2022 15:13 MYT
Disember 6, 2022 15:13 MYT
KUALA LUMPUR: Peluang kedua masih terbuka kepada mana-mana atlet angkat berat yang pernah terlibat kesalahan isu penggunaan bahan terlarang untuk diserap masuk dalam pasukan kebangsaan, kata Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat.
Beliau bagaimanapun berkata atlet berkenaan mesti membuktikan prestasi diri dan tahap disiplin mereka berada pada tahap cemerlang selepas bebas isu doping ketika diminta menyertai aksi kompetitif yang dianjurkan dalam dan luar negara.
"Kita ada keputusan, jika mereka sudah tidak terlibat dengan doping kita tengok juga pencapaian mereka selepas itu, namun mereka hanya akan diletakkan dalam kumpulan kedua (dalam pasukan kebangsaan) dahulu sebelum membuat keputusan lain.
"Peluang ini terutama kepada mereka yang tidak terlibat dengan pengambilan steroid, lebih kepada stimulus, yang mereka hanya akan digantung antara lapan hingga sembilan bulan sahaja. Kita akan masukkan mereka dalam senarai untuk diserap masuk sekiranya prestasi yang ditunjukkan selepas bebas doping pada tahap cemerlang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurut Ayub, PABM terus komited untuk menghalang penyalahgunaan barang terlarang dan keputusan itu perlu dihormati semua penggiat sukan berkenaan kerana turut melibatkan beberapa badan induk lain seperti Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).
Angkat berat menjadi antara tiga sukan yang digugurkan daripada senarai sukan teras pada 2017, selain taekwondo dan sepak takraw, susulan prestasi ketiga-tiga sukan itu yang merosot selain angkat berat berdepan pelbagai masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atletnya dalam ujian doping.
Pada 1 Nov tahun lepas, PABM mengambil tindakan drastik membubarkan skuad kebangsaan sedia ada melibatkan kesemua empat jurulatih dan 13 atlet yang diberikan notis penamatan kontrak berikutan kes doping yang berleluasa.
Ditanya sekiranya beliau berpuas hati dengan kejayaan yang diraih skuad angkat berat kebangsaan pada tahun ini, Ayub berkata: "Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian skuad angkat berat pada tahun ini dengan kita dapat beberapa pingat emas buat Malaysia."
Skuad angkat berat bimbingan Yon Haryono terus mengganas apabila meraih dua emas menerusi Mohamad Aniq bagi kategori 55 kilogram (kg) dan Muhamad Aznil Bidin (61kg) manakala Muhammad Erry Hidayat menyumbang perak dalam kategori 73kg pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di England.
-- BERNAMA