Masalah kewangan himpit persiapan skuad angkat berat
Astro Arena
Mei 31, 2016 16:50 MYT
Mei 31, 2016 16:50 MYT
Persiapan atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor, ke Sukan Olimpik Rio terjejas apabila program latihan yang diatur Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) di Foshan, China tidak dapat dijalankan ekoran masalah kewangan.
Hafifi dan seorang lagi atlet Program Podium, Zulhelmi Md Pisol, sepatutnya berlepas pada Ahad lalu.
Namun, program itu tergendala apabila Institut Sukan Negara (ISN), belum meluluskannya, malah terpaksa mengadakan perbincangan semula.
Hasilnya, hanya Hafifi akan ke China sambil ditemani jurulatih, Wang Zhi Quan, tetapi tarikhnya belum ditetapkan.
"Kami akan membuat penilaian semula. Dia (Wang Zhi Quan) berjanji akan tolong, dia akan pergi ke sana.
"Kemungkinan hanya Hafifi yang akan pergi dan bukannya berdua ekoran masalah bajet.
"Ini berikutan keadaan (ekonomi) gawat, peruntukan dipotong selain duit masuk lambat. Kemungkinan Wang dan Hafifi akan pergi dahulu," jelas Setiausaha Kehormat PABM, Pang Siew Huat.
Zhi Quan berpendapat peluang berlatih di luar Malaysia adalah langkah baik sebagai persiapan atlet negara menghadapi Sukan Olimpik Rio 2016.
"Kami perlu sahkan terlebih dahulu bila akan pergi, saya rasa program di luar selama dua bulan adalah bagus.
"Ketika ini kami masih berbincang," kata jurulatih itu.
Hafifi sepatutnya berlatih di Foshan selama 58 hari bersama atlet dari beberapa wilayah negara terbabit.
Atlet ranking ke-13 dunia itu disasarkan untuk meraih tangga lapan terbaik di Rio.
#atlet angkat berat
#latihan
#Mohd Hafifi Mansor
#Olimpik Rio
#PABM
#program podium
#sukan angkat berat
#Zulhelmi Md Pisol