'Masa depan Stadium Shah Alam diputuskan dalam masa terdekat'

Sinar Harian
Jun 29, 2022 07:30 MYT
Pembangunan semula itu juga akan membabitkan Stadium Melawati sebelum tindakan selanjutnya diumumkan tidak lama lagi. - Foto fail
SHAH ALAM: Pembangunan semula Kompleks Sukan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 di sini, akan dilaksanakan berdasarkan hasil penilaian satu jawatankuasa khas yang dilantik.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan semula itu juga akan membabitkan Stadium Melawati sebelum tindakan selanjutnya diumumkan tidak lama lagi.
"Keputusan pembangunan semula Stadium Shah Alam (di Seksyen 13), di sini akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Pembangunan keseluruhan Kompleks Sukan Stadium Shah Alam termasuk Stadium Melawati itu akan dilaksanakan berdasarkan hasil penilaian jawatankuasa khas," ciapnya di laman Twitternya pada Rabu.
Pada Rabu, sebuah agensi media melaporkan gelanggang rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants itu didakwa akan diroboh dan digantikan dengan sebuah stadium baharu yang lebih kecil.
Stadium baharu didakwa berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton itu lebih mudah dijaga dan diselenggara berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang boleh memuatkan sehingga 80,300.
Susulan itu, Pemilik The Red Warriors (TRW) Kelantan FC, Norizam Tukiman menawarkan diri untuk menyelesaikan isu membabitkan Stadium Shah Alam selepas gelanggang itu didakwa bakal dirobohkan.
Norizam berkata, gelanggang berkenaan tidak perlu dirobohkan sebaliknya pihak berkaitan boleh memajak kemudahan sukan itu kepada TRW Kelantan FC.
“Dari roboh stadium tu, baiklah pajakkan ke TRW Kelantan FC. Insya-ALLAH saya bersedia #Zamburger,” kata beliau di laman Facebooknya pada Rabu. - Sinar Harian
#Kompleks Sukan Stadium Shah Alam #Amirudin Shari #Stadium Melawati #pembangunan semula
;