Masa depan dua pemain ke Jepun belum diputuskan
Astro Awani
Mac 11, 2013 07:45 MYT
Mac 11, 2013 07:45 MYT
Hasrat kelab divisyen tiga Jepun, Ryukyu FC yang ingin mendapatkan khidmat Wan Zack Haikal Wan Noor dan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria masih belum diputuskan.
Wakil kelab berkenaan hadir ke Wisma FAM pada Isnin bagi mengadakan perbincangan lanjut bersama pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee.
“Kita mengadakan perbincangan sebentar tadi dengan pihak Ryukyu FC tetapi kita belum ada kata putus tentang apa segala keputusan yang kita akan buat tentang pemain-pemain kita termasuk juga seperti mana yang mereka inginkan. Jadi saya harap perkara ini akan selesai secepat mungkin selewat-lewatnya sebelum kita bertolak ke Slovakia.”
Jelas Kim Swee lagi, amat penting buat FAM meneliti tawaran dari kelab berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Dalam hal berkaitan, Kim Swee menjelaskan FC Ryukyu turut berminat mendapatkan beberapa lagi pemain negara tetapi enggan mendedahkan identiti mereka.
Tarikh akhir pendaftaran pemain bagi saingan Liga J adalah pada 29 Mac ini.
Mengulas mengenai persiapan Harimau Muda A, Kim Swee berkata skuad kendaliannya akan berlepas ke Slovakia pada 16 Mac ini untuk menjalani latihan di sana.
Ia antara rangka persiapan bagi mempertahankan pingat emas Sukan Sea di Myanmar pada Disember depan.
Sebelum ini, skuad berkenaan mengadakan siri jelajah ke Australia pada Januari. Ia disusuli dengan aksi persahabatan menentang Myanmar, Laos dan Kemboja.