Martina Hingis kembali beraksi, terasa seperti pemain junior

Agensi
Ogos 5, 2016 09:36 MYT
Martina Hingis berharap dapat membawa pulang pingat dari Olimpik Rio. - Foto AFP
Pemain tenis wanita sensasi yang mula melakar nama sewaktu awal remaja, Martina Hingis, telah bersara dua kali dan pernah berdepan penggantungan akibat kegagalan ujian doping.
Kali akhir dia beraksi di Olimpik pada tahun 1996 sewaktu berusia 15 tahun.
Kini selepas 20 tahun, Hingis kembali ke arena Olimpik, namun impian Rio itu hampir tidak menjadi - sekali tapi dua kali.
Pertama, Roger Federer, yang dijadual bergandingan dengannnya dalam beregu campuran, menarik diri akibat kecederaan dan sehari kemudian, Belinda Bencic, gandingan beregunya, juga menarik diri.
Dalam penyelesaian minit-minit akhir, Hingis digandingkan dengan Timea Bacsinszky.
“Apabila Roger bersetuju mahu bermain, saya sangat teruja. Namun dalam sukan, kita tidak tahu apa yang bakal berlaku.
“Kami sama-sama kecewa tidak dapat bertanding di Olimpik bersama. Saya berharap dapat membawa pulang pingat.
“Namun saya ada peluang lain. Saya tidak mahu mengalah dan saya akan berusaha keras bersama Timea,” ujar Hingis yang selamat tiba di Rio pada Khamis.
Sewaktu Olimpik 1996, Hingis tewas dalam pusingan kedua acara perseorangan, manakala kandas di peringkat suku akhir dalam acara beregu dengan Patty Schnyder.
Hingis yang kini berusia 35 tahun, pernah mengecap kejayaan hebat dalam generasi seusianya, dengan memenangi lima gelaran Grand Slam antara tahun 1997 dan 1999.
Namun, dia bersara pada tahun 2003 akibat kecederaan lutut sebelum kembali ke gelanggang pada 2006.
Setahun selepas itu, Hingis mengumumkan persaraannya buat kali kedua selepas digantung dua tahun kerana positif kokain sewaktu kempen Wimbledon.
Enam tahun kemudian dia kembali sebagai pakar geregu dan memenangi tiga gelaran Grand Slam.
“Sekarang tidak tertekan sangat, Pengalaman itu penting, Saya kembali berasa seperti pemain junior. Saya berusia 15 tahun ketika bermula, sekarang sudah 35 tahun. Segalanya berubah,” ujarnya.
#Martina Hingis #Olimpik Rio #Rio 2016 #tenis
;