Marquez raih petak utama GP Malaysia 2018

Bernama
November 3, 2018 19:02 MYT
Marc Marquez (tengah) bersama Velentino Rossi (kanan) dan Johann Zarco selepas tamat sesi kelayakan kelas MotoGP pada Shell Malaysia MotoGP 2018 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini, 3 Nov, 2018. --fotoBERNAMA
Juara dunia MotoGP 2018, Marc Marquez daripada Repsol Honda Team akan memulakan perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia 2018 pada petak utama esok, selepas mendahului pusingan kelayakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini.
Pelumba Sepanyol itu menampilkan tunggangan cemerlang di trek basah sepanjang 5.543 kilometer (km) itu dengan catatan dua minit 12.161 saat (s), mengatasi Johann Zarco mewakili Monster Yamaha Tech 3 di tempat kedua, manakala tempat ketiga milik juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi dari Movistar Yamaha MotoGP Team.
Sementara itu, pelumba Ducati, Andrea Dovizioso yang meraih mata maksimum pada edisi 2016 dan 2017 di litar berkenaan, menamatkan sesi kelayakan tersebut di kedudukan kelima dengan catatan masa 2:13.183s.
Pelumba MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah, yang sebelum ini mengharapkan agar sesi kelayakan itu berlangsung dalam keadaan litar kering kerana beliau tidak pernah bersaing di trek basah, pula akan memulakan perlumbaan tersebut di tempat ke-23 selepas mencatat masa 2:16.825s.
-- BERNAMA
#Grand Prix #Hafizh Syahrin Abdullah #Honda #Johann Zarco #Malaysia #marc marquez #MotoGP #pelumba #Sepang #sepanyol #Valentino Rossi
;