Maradona meninggal dunia akibat serangan jantung

Astro Awani
November 25, 2020 00:37 MYT
Bekas pemain tengah dan pengurus pasukan Argentina itu mengalami serangan jantung di rumah. -Reuters
LEGENDA bola sepak, Diego Maradona dilaporkan meninggal dunia pada usia 60 tahun.
Agensi berita BBC melaporkan, bekas pemain tengah dan pengurus pasukan Argentina itu mengalami serangan jantung di rumahnya di Buenos Aires.
Maradona sebelum ini menjalani pembedahan bagi mengeluarkan darah beku pada otak awal November lalu, selain pernah menjalani rawatan kerana ketagihan alkohol.
BACA: Diego Maradona selamat jalani pembedahan akibat pendarahan di otak
BACA: Maradona discaj dari hospital selepas jalani pembedahan otak
Beliau yang diiktiraf sebagai salah seorang pemain terhebat dalam sejarah, menjadi kapten ketika Argentina memenangi Piala Dunia 1986, dengan persembahan permainan yang luar biasa.
Beliau juga bermain untuk kelab Barcelona dan Napoli semasa zaman kegemilangannya selain memenangi dua gelaran Serie A bersama pasukan di Itali itu.
Dalam satu kenyataan di media sosial, Persatuan Bola Sepak Argentina, menyifatkan pemergian Maradona menyebabkan kesedihan yang amat mendalam.
"Ia kesedihan yang amat mendalam atas kematian legenda kami. Anda akan selalu di hati kami," kata persatuan itu.
#Maradona #Diego Maradona #legenda bola sepak #meninggal dunia #serangan jantung #rumah #rawatan #Hospital #RIP Maradona
;